amree01/09/2026 - 10:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Sept — Gamuda Berhad semakin memperkukuh penguasaan dalam pembangunan pusat data (DC) di Port Dickson, Negeri Sembilan selepas meraih dua lagi kontrak bernilai RM3.57 bilion.
Menurut penganalisis, kejayaan tersebut menjadikan kumpulan itu memperoleh empat projek di kawasan berkenaan mencecah RM7 bilion dan mengukuhkan kedudukan sebagai antara pemain utama pembinaan DC.
Mereka berpandangan prospek kumpulan kekal positif berikutan buku tempahan pembinaannya naik ke paras rekod RM59.6 bilion tetapi risiko peningkatan kos bahan mentah kekal antara cabaran utama.
"Kami mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Gamuda dengan harga sasaran (TP) berasaskan jumlah bahagian (SOTP) yang juga tidak berubah iaitu RM5.60," jelas MBSB Research dalam nota analisisnya.
Ujarnya, kumpulan itu kekal sebagai pilihan utama firma tersebut dalam sektor pembinaan, susulan dua kontrak baharu daripada sebuah syarikat teknologi multinasional (MNC) Amerika Syarikat (AS).
Tender tersebut katanya, bernilai masing-masing RM1.79 bilion dan RM1.78 bilion, meliputi kerja infrastruktur tapak, pembinaan struktur utama serta kerja mekanikal, elektrik dan paip (MEP).
Kedua-dua projek Gamuda itu kata MBSB Research, dijangka bermula 4QFY26 dan disiapkan masing-masing pada 3Q serta 4Q 2028, dengan margin keuntungan sebelum cukai (PBT) dianggarkan sekitar 8%.

"Kira-kira 75% daripada projek syarikat ini masih berada pada peringkat awal, dan FY27 dijangka menandakan permulaan fasa peningkatan keuntungan yang lebih kukuh," tambah firma penyelidikan itu.
Ia juga menaikkan andaian kemenangan kerja bagi 2026 kepada RM25 bilion, daripada RM20 bilion sebelum ini, selain melihat bahagian hartanah kumpulan turut memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.
Jelas MBSB Research, Gamuda disokong pelancaran baharu bernilai RM10 bilion pada FY27 di Vietnam, Singapura dan Malaysia, manakala projek DC dijangka kekal sebagai sumber penting buku tempahan.
Sementara itu, CGSI mengekalkan saranan ‘tambah’ dan TP RM5.78, sambil menyifatkan kumpulan ini makin menguasai pembangunan kampus DC di Port Dickson, dengan tapak keseluruhan seluas 157 hektar.
"Kemenangan dua projek baharu menjadikannya meraih empat kontrak di tapak itu, dengan pendedahan kepada DC kini menyumbang kira-kira 16% daripada buku tempahan berjumlah RM59.6 bilion," jelasnya.
Firma itu turut melihat Gamuda sebagai calon utama memperoleh kontrak DC yang seterusnya di lokasi berkenaan, namun menegaskan pemangkin paling penting bukan lagi semata-mata kemenangan tender.
Sebaliknya ujar CGSI, keupayaan kumpulan melaksanakan projek dan merealisasikan pertumbuhan keuntungan, dengan menjangkakan titik perubahan hasil boleh mula kelihatan seawal Disember 2026,
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut terus mengekalkan unjuran kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) pendapatan sesaham sebanyak 24% bagi FY26 hingga FY28. - DagangNews.com






