Prosedur rawatan jantung Hadi di IJN berjalan lancar, berjaya: Tuan Ibrahim

LocalHealth & Fitness
18 Jun 2025 • 9:49 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah selamat menjalani suatu prosedur rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) semalam.

Perkara berkenaan dikongsi oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang memaklumkan prosedur yang dijalani oleh Hadi, 78, berjalan lancar dan berjaya.

Beliau turut memuji kepakaran dan fasiliti perubatan negara, yang setanding dengan negara maju dan kejayaan pembedahan itu merupakan kelegaan kepada pendukung dan ahli PAS yang amat menyayangi presiden mereka.

image is not available
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut memuji kepakaran dan fasiliti perubatan negara. - Gambar fail Scoop, 18 Jun, 2025

“Beberapa jam sebelum prosedur dijalankan, saya bersama beberapa pimpinan kanan parti telah diberi taklimat oleh pasukan pakar yang merawat Tuan Guru Presiden.

“Saya dapat melihat sendiri betapa tinggi komitmen yang ditunjukkan oleh pasukan ini dalam melaksanakan pembedahan tersebut.

"Sesungguhnya, dengan ketabahan, kesungguhan, kepakaran, serta doa yang dipanjatkan oleh semua pihak kepada Allah SWT, akhirnya Tuan Guru Presiden telah selamat menjalani pembedahan,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sebelum ini pernah menerima rawatan susulan di IJN, dengan kali terakhir dilaporkan menjalani rawatan pada 5 Januari tahun lepas.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan medianya hari ini berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan dan kesembuhan Hadi.

“PAS turut merakamkan setinggi penghargaan kepada pasukan pakar dan petugas kesihatan di IJN atas kejayaan menjalankan prosedur rawatan ke atas Tan Sri Tuan Guru seperti yang telah dirancang tanpa sebarang komplikasi.

“Kepakaran, kecekapan serta komitmen tinggi di pihak IJN amatlah kami hargai,’’ katanya yang turut meminta ahli-ahli PAS serta rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan negara. - 18 Jun, 2025