amree06/08/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos — Frontken Corporation Berhad masih berdepan tekanan pengukuhan ringgit berbanding dolar Taiwan dan isu ketidaktentuan rantaian bekalan global, menurut Apex Securities.
Firma itu namun menilai momentum pertumbuhan pendapatan pada 2HFY26 akan dipacu permintaan pesat industri kecerdasan buatan (AI) dan pengeluaran cip semikonduktor generasi 2 nanometer (2nm).
Ia susulan keuntungan bersih teras bagi 1HFY26 meningkat 2% kepada RM88 juta yang menepati sasaran, dan dijangka menjadi asas kepada prestasi kumpulan yng lebih kukuh pada enam bulan terakhir FY26.
"Operasi anak syarikat semikonduktor Frontken di Taiwan terus mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan berkaitan AI, dengan pengembangan kapasitinya dipercepatkan," jelas Apex Securities.
Langkah itu dijangka membolehkannya memanfaatkan peningkatan pengeluaran cip 2nm oleh pelanggan utama syarikat, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan bagi beberapa tahun akan datang.
Ujarnya, bagi suku kedua FY26, hasil kumpulan berkenaan namun susut 1.5% berbanding suku sebelumnya kepada RM186.9 juta berikutan jualan berkaitan minyak dan gas (O&G) di Malaysia yang perlahan.

Bagaimanapun, Apex Securities menambah, keuntungan bersih teras Frontken sebenarnya meningkat kira-kira 26.4% kepada sebanyak RM49.1 juta berikutan sumbangan lebih kukuh daripada operasi di Taiwan.
"Secara tahunan pula, hasil naik 19.5% didorong lonjakan 106% dalam aktiviti berkaitan bekalan O&G di Malaysia serta pertumbuhan 7% segmen semikonduktor Taiwan, disebabkan kecekapan kos," katanya.
Ia menjangkakan segmen O&G kekal menjana hasil berikutan aktiviti penyelenggaraan dan pengeluaran berterusan, manakala usaha pembelian tanah baharu di Taiwan akan menyokong perluasan kapasiti.
Sehubungan itu, Apex Securities mengekalkan unjuran keuntungan teras FY26 hingga FY28 masing-masing RM197.3 juta, RM206.8 juta dan RM217.4 juta tanpa sebarang perubahan terhadap hasil Frontken.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM5.86 daripada RM5.71, disokong prospek pertumbuhan jangka panjang industri semikonduktor, serta permintaan AI.
"Kami namun mengingatkan risiko utama masih tertumpu kepada isu pengukuhan ringgit, kelembapan perbelanjaan modal industri, turun naik harga minyak, dan ketegangan geopolitik," katanya. - DagangNews.com






