Sedikit demi sedikit, Proton meniru apa yang Google tawarkan. Mula-mula mereka mengambil-alih Standard Notes untuk bersaing dengan Keep, kemudian mereka melancarkan Proton Docs untuk bersaing dengan Google Docs dan terbaru mereka melancarkan ciri AI generatif tersendiri untuk bantu tulis emel dalam Proton Mail seakan Gmail.

Ciri AI ini adalah Proton Scribe yang dibina berasaskan model Mistral 7b. Ciri AI ini turut akan dijadikan sebagai sumber terbuka di bawah lesen GPL-3.0 agar mudah audit sekuriti dan privasi dilakukan. Ya, memandangkan Proton adalah syarikat yang mementingkan privasi dan sekuriti 100%, Proton Scribe tidak akan menggunakan data pengguna untuk melatih dan memproses ciri AI mereka. Sebaliknya pengguna perlu muat turun sekali. Jika peranti tidak begitu pantas, pilihan memproses dengan pelayan peribadi Proton turut ditawarkan.

Proton memberitahu yang ciri AI menulis emel ini tidak akan mengikut konteks atau tidak diperibadikan tetapi pengguna masih bebas menyunting emel yang telah dijana sebelum menghantar. Penggunaan juga ringkas dengan prom teks dan tekan ikon pensel bersinar untuk mula menjana. Beberapa ciri lain turut ditambah untuk menjadikan emel lebih sedap seperti menukar tona bahasa ke lebih santai, baca pruf, pendekkan emel atau panjangkannya lagi.
Buat masa ini Proton Scribe hanya akan ditawarkan dalam Proton Mail tetapi jika penggunaannya tinggi ia mungkin akan dikembangkan ke perkhidmatan Proton lain. Adakah anda pengguna perkhidmatan Proton dan akan menggunakan Scribe?
