Lenovo dijangka memperlihatkan beberapa produk baru sewaktu acara Mobile World Congress yang sedang berlangsung di Barcelona pada tahun ini, dan salah satu daripada produk tersebut ialah sebuah tablet/konsol permainan baharu yang hadir dengan paparan boleh-lipat yang dinamakan Lenovo Legion Go Fold.
Tablet permainan yang diperlihatkan di acara tersebut merupakan sebuah tablet yang boleh disambungkan ke alat kawalan nirwayar, lebih kurang sama seperti konsol permainan Lenovo Legion Go asal, tetapi dengan skrin yang boleh dilipat.

Bahagian tablet konsol ini hadir dengan paparan sesentuh POLED 11.7 inci yang boleh dilipat ke 7.7 inci dengan resolusi 2435 x 1712 pixel dengan saiz penuh dan kadar segar semula 165Hz. Tablet ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 258V dengan 32GB memori terbina dan 1TB storan SSD PCIe 4.0, menggerakkan sistem operasi Windows 11.

Bahagian alat kawalan konsol ini juga boleh dicabut daripada bahagian tablet sama seperti Lenovo Legion Go sebelum ini, dan boleh disambungkan secara nirwayar melalui sambungan Bluetooth. Satu perbezaan ketara pada konsol ini ialah ia juga boleh disambungkan ke semua empat sisi tablet ini, yang boleh digunakan tidak kira ia dalam keadaan dilipat ataupun tidak.

Dalam pada itu, Lenovo juga telah memperlihatkan sebuah aksesori papan kekunci yang boleh disambungkan ke bahagian tablet Lenovo Legion Go Fold ini untuk membolehkannya digunakan sebagai sebuah komputer riba.

Model yang diperlihatkan sewaktu acara MWC 2026 merupakan sebuah prototaip. Pihak Tom’s Hardware mengatakan bahawa konsol tersebut masih memerlukan banyak pembaikan, khususnya dalam aspek engselnya untuk memastikan bahawa konsol tidak terlipat secara tidak sengaja apabila digunakan dalam keadaan terbuka.
Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah Lenovo akan memperkenalkan tablet ini sebagai sebuah produk pemngguna secara rasmi.


