NVIDIA nampaknya sedang bersiap-sedia untuk pengumuman besar sewaktu acara Graphics Technology Conference mereka yang akan berlangsung pada bulan hadapan. Beberapa hari lalu kami telah melaporkan bahawa Dell dan Lenovo merupakan jenama terawal untuk memperlihatkan komputer riba baharu yang dikuasakan oleh cip pemprosesan NVIDIA N1 dan N1X yang merupakan sebuah kerjasama diantara mereka dan MediaTek.
Laporan-laporan terbaru mengatakan bahawa selain daripada NVIDIA dijangka membuat pengumuman berkenaan siri cip baru ini di acara NVIDIA GTC, kedua-dua Dell dan Lenovo juga dijangka akan memperkenalkan penawaran komputer riba mereka tersendiri yang dikuasakan oleh cip pemprosesan tersebut seawal separuh pertama 2026.

Cip pemprosesan NVIDIA N1 dan N1X merupakan cip pemprosesan berasaskan teknologi Arm yang mampu menggerakkan sistem operasi Windows 11 versi Arm (menyerupai apa yang dilakukan oleh Qualcomm dengan cip Snapdragon X mereka) disamping merumahkan komponen cip pemprosesan grafik GeForce RTX 5070 yang membolehkan mana-mana komputer yang mempunyai cip ini digunakan sebagai komputer gaming ataupun produktiviti kelas premium.
Jika anda ingat, NVIDIA juga telah melancarkan komputer AI kecil DGX Spark yang dikuasakan oleh cip NVIDIA GB10 Blackwell, ini merupakan asas cip yang sama untuk komponen NVIDIA N1 dan N1X, cuma diubahsuai untuk lebih sesuai digunakan oleh pengguna biasa dan untuk tujuan yang lebih meluas.
Ini juga mungkin bermakna bahawa komputer yang dikuasakan oleh cip pemprosesan NVIDIA N1 dan N1X tidak akan hadir dengan tanda harga murah, kerana sebuah komputer DGX Spark dilihat hadir dengan tanda harga setinggi $4999 atau kira-kira RM18-20 ribu.



