Lenovo Yoga Pro 3D Ialah Komputer Riba Konsep Dengan Sokongan Dwi-skrin Dan Olahan 3D

TechnologyDigital
2 Mar 2026 • 1:48 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Lenovo nampaknya sedia memperlihatkan barisan produk-produk perkomputeran mereka secara lebih meluas pada tahun ini termasuklah beberapa produk konsep yang sedang dibangunkan, seperti Lenovo Legion Go Fold dan juga komputer riba Yoga terbaru mereka, Lenovo Yoga Pro 3D.

Komputer riba ini merupakan sebuah komputer riba dwi-skrin, yang tidaklah begitu aneh khususnya apabila ia dilihat bahawa Lenovo juga sudahpun mempunyai penawaran dwi-skrin mereka sendiri. Komputer riba konsep ini dibangunkan secara khusus untuk mereka yang bekerja dalam industri kreatif, khususnya pembangun kandungan 3D.

image is not available

Ini adalah kerana bahagian paparan atas komputer riba ini adalah paparan 2D/3D yang membolehkan pengguna untuk melihat kandungan 3D tanpa memerlukan kaca mata 3D khas. Ya, kandungan paparan boleh diperlihatkan seperti ia berada dalam keadaan 3D, dan pengguna boleh melakukan pergerakan tangan untuk menukar kedudukan objek dalam paparan, seperti ia seakan-akan sebuah hologram yang boleh disentuh.

Paparan kedua komputer riba ini merupakan sebuah paparan skrin sesentuh yang boleh digunakan untuk mengawal fungsi perisian suntingan objek 3D dan lain-lain, memberi pengguna kebolehan menyunting yang lebih mendalam dan tepat.

image is not available

Komputer riba ini dikuasakan oleh gabungan cip pemprosesan Intel Core Ultra dengan gabungan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070 yang cukup berkuasa untuk mengolah objek 2D dan 3D dengan pantas.

Seperti Lenovo Legion Go Fold, ia tidak diketahui lagi sekiranya mereka akan memperkenalkan produk ini secara rasmi untuk dijual kepada pengguna.