hamden11/09/2026 - 18:07 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Sept – UMNO bertekad untuk mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya parti itu kembali menerajui kerajaan Persekutuan, namun pada kadar yang lebih munasabah.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendirian itu lebih baik berbanding melaksanakan sistem percukaian hibrid yang menggabungkan GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Dengan izin Allah, tekad kita adalah untuk mengembalikan GST dalam sistem percukaian.
“Kita bertekad untuk memperkenalkan semula GST pada kadar dan peratusan yang lebih munasabah,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.
Ahmad Zahid berkata Malaysia tidak seharusnya mengamalkan sistem hibrid GST-SST yang didakwa tidak dilaksanakan oleh mana-mana negara lain.
“Tiada istilah sistem hibrid. Tiada negara yang mempunyai sistem hibrid. GST campur SST,” katanya yang disambut gelak ketawa para perwakilan.
“Bossku betul,” tambahnya.
Beliau kemudian meminta para perwakilan menunjukkan sokongan terhadap cadangan mengembalikan GST, dengan hampir kesemua perwakilan berdiri dan memberikan sorakan.
“Adakah kamu semua dalam dewan ini bersetuju? Saya mahu lihat berapa ramai dalam dewan ini yang menyokong GST,” katanya.
Ahmad Zahid berkata pendirian UMNO itu mencerminkan tekad parti untuk memperkenalkan semula GST sebagai sebahagian daripada sistem percukaian negara sekiranya diberi mandat untuk kembali mentadbir kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kerajaan terbuka untuk menggabungkan elemen tertentu GST ke dalam SST sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan sistem percukaian yang lebih progresif. - DagangNews.com






