PTANS tawar RM3,000 jika atlet Negeri Sembilan bawa pulang emas SUKMA 2026

13 Aug 2026 • 4:17 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

PTANS tawar RM3,000 jika atlet Negeri Sembilan bawa pulang emas SUKMA 2026

SEREMBAN – Impian Persatuan Tinju Amatur Negeri Sembilan (PTANS) untuk melihat kilauan emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 disuntik dengan tawaran insentif RM3,000 kepada setiap atlet yang berjaya menaiki podium tertinggi.

Presiden PTANS Mohd Fitri Omar berkata ganjaran itu bukan sekadar penghargaan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada lapan atlet yang bakal menggalas cabaran Negeri Sembilan untuk berjuang habis-habisan sepanjang temasya berkenaan.

“Kita bukan sekadar mahu bertanding. Kita mahu melihat atlet Negeri Sembilan berjuang untuk emas dan mengharumkan nama negeri.

“RM3,000 ini sebagai suntikan motivasi kepada atlet kita secara tidak langsung sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan komitmen mereka sepanjang menjalani persiapan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, PTANS menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas menerusi dua beradik, Nurin Irdina Mohamad Yuzamry dalam kategori 45-48 kilogram (kg) dan Airil Asyraf bagi kategori 48-51kg.

Selain mereka, enam lagi atlet Negeri Sembilan akan beraksi dalam temasya dwitahunan kebangsaan itu iaitu Nur Farzana Husna Shahrelamdan (flyweight 48-52kg), Nuraisyah Alyaa Mohd Shaid (featherweight 52-57kg), Abdullah Mujahhidin Arsath Khan (light welterweight 60-63.5kg), Muhamad Azfar Amsyar Azrul (lightweight 57-60kg), Nik Muhammad Hairy Haiqal Nik Hazman (light middleweight 67-71kg) dan Nurfaiz Syazwi Mohd Shaid (welterweight 63.5-67kg).

Mohd Fitri berkata pihaknya yakin kesemua atlet berkenaan mampu memberikan saingan sengit selepas melalui persiapan intensif, termasuk menjalani latihan selama dua minggu di Filipina bulan lepas.

Beliau berkata pendedahan di negara berkenaan yang dikenali sebagai antara kuasa besar sukan tinju di Asia memberi manfaat besar kepada atlet dari aspek stamina, kemahiran dan keyakinan diri.

“Proses (prestasi) mereka meningkat dari segi stamina dan skil, serta lebih yakin kerana kita tahu Filipina adalah antara kuasa besar (sukan tinju) di Asia,” katanya.

Beliau berkata meskipun sasaran awal PTANS adalah sekurang-kurangnya satu emas, atlet lain juga berpotensi mencipta kejutan sekiranya mampu menterjemahkan latihan dan pengalaman yang diperoleh ke gelanggang pertandingan.

Pada SUKMA Sarawak 2024, skuad tinju Negeri Sembilan membawa pulang satu pingat perak dan satu gangsa.

Sumber: BERNAMA

The post PTANS tawar RM3,000 jika atlet Negeri Sembilan bawa pulang emas SUKMA 2026 appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved