PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

2 Oct 2026 • 7:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI
Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI pada Selasa lalu.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved