PTT Synergy beli tanah RM62 juta di Seberang Perai Selatan daripada Lee Mooi Khean

11 Sep 2026 • 5:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PTT Synergy beli tanah RM62 juta di Seberang Perai Selatan daripada Lee Mooi Khean Image from: PTT Synergy beli tanah RM62 juta di Seberang Perai Selatan daripada Lee Mooi Khean amree11/09/2026 - 17:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 SeptPTT Synergy Group Berhad mengukuh aset hartanah dengan subsidiarinya, PTT Logistics Hub 3 Sdn Bhd, membeli tanah di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang pada harga RM62.53 juta.

 

Tanah seluas 3.925 hektar itu kini merupakan tanah kosong dan akan dipegang sebagai hartanah pelaburan, dengan potensi dibangunkan pada masa depan selaras dengan rancangan pengembangan perniagaan.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, PTT Logistics Hub 3 memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Lee Mooi Khean pada 11 September 2026 bagi pembelian tanah dikenali Geran 77766, Lot 1597, Mukim 12.

 

"Tanah berstatus pegangan bebas itu tidak mempunyai sebarang bebanan, sekatan kepentingan atau syarat nyata bagi penggunaan, dengan syarat nyata disebut sebagai ‘First Grade’," jelas PTT Synergy. 

 

Tambahnya, harga pembelian dipersetujui berdasarkan prinsip pembeli dan penjual bersedia, selepas mengambil kira prospek pengambilalihan serta harga permintaan indikatif bagi tanah yang setanding di kawasan sekitar.

 

Berdasarkan kepada penilaian kumpulan berkenaan, harga pembelian tersebut sebenarnya masih berada dalam julat pasaran semasa bagi tanah di lokasi itu, selain diambil kira kedudukan lokasinya yang strategik.

 

PTT Synergy_DagangNews2026

 

Pembelian itu akan dibiayai menerusi gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, dengan campuran pembiayaan sebenar ditentukan kemudian selepas menilai tahap hutang kumpulan, kos faedah serta keperluan modal kerja operasi.

 

"PTT Synergy tidak akan mengambil alih sebarang liabiliti, liabiliti luar jangka atau jaminan daripada urus niaga itu, kecuali sebarang pinjaman bank yang mungkin timbul bagi membiayai pembelian tersebut," jelasnya.

 

Kumpulan berkata, pengambilalihan itu merupakan pelaburan strategik selaras misi pertumbuhan dan pengembangan jangka panjang, selain dijangka mengukuhkan asas aset serta menyokong perniagaan dalam tempoh panjang.

 

Dari segi kewangan, transaksi itu tidak memberi kesan terhadap modal saham atau pegangan utama kerana tidak melibatkan saham baharu, manakala kesannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 dijangka tidak material.

 

Bagaimanapun ujarnya, kesan terhadap nisbah hutang kumpulan bergantung kepada campuran pembiayaan dengan transaksi itu turut tidak memerlukan apa-apa kelulusan pemegang saham PTT Synergy atau pihak berkuasa kawal selia

 

"Pemerolehan tanah berkenaan dijangka dapat selesai dimuktamadkan pada suku pertama 2027, tertakluk kepada syarat dalam SPA yang dipenuhi," kata kumpulan itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved