johardy12/08/2026 - 17:38 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Ogos - PTT Synergy Group Bhd akan membina lima gudang industri di Pontian, Johor untuk kemudiannya dijual kepada Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Berhad (Sekatarakyat) pada nilai keseluruhan RM260 juta, sejajar dengan usaha kumpulan mengembangkan portfolio hartanah industri dan logistiknya.
Kumpulan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, PTT Development Sdn Bhd (PTTD), memeterai lima perjanjian jual beli (SPA) berasingan dengan Sekatarakyat pada 12 Ogos.
Di bawah perjanjian itu, PTTD akan membangunkan dan membina lima gudang berkenaan sebelum menjualnya kepada Sekatarakyat pada harga RM52 juta setiap satu, menjadikan jumlah nilai jualan RM260 juta.
Pembangunan itu akan dilaksanakan di atas 20 lot tanah pegangan bebas berasingan, merangkumi PTD 16172 hingga PTD 16191 di Mukim Jeram Batu, Pontian.
Setiap gudang industri satu tingkat itu akan dilengkapi ruang pejabat mezanin dan kemudahan sampingan, dengan keluasan binaan kira-kira 101,568 kaki persegi. Secara keseluruhan, lima gudang berkenaan mempunyai keluasan binaan kira-kira 507,839 kaki persegi.
PTT Synergy berkata, pembangunan itu dijangka siap dalam tempoh 36 bulan dari tarikh SPA masing-masing, tertakluk kepada kelulusan kawal selia yang diperlukan dan sekiranya tiada keadaan luar jangka.
Pembeli terjamin sokong pendapatan dan aliran tunai
Syarikat itu berkata, projek berkenaan selaras dengan strategi kumpulan untuk membangunkan hartanah berkaitan industri dan logistik serta merupakan sebahagian daripada kegiatan pembangunan hartanah biasa PTTD.
Sekatarakyat sebagai pembeli bagi kesemua lima gudang itu turut memberikan PTT Synergy jualan terjamin bagi pembangunan berkenaan, sekali gus mengurangkan ketidaktentuan berkaitan penjualan selepas pembinaan selesai.

PTT Synergy menjangkakan projek itu membolehkan kumpulan merealisasikan keuntungan pembangunan, mengukuhkan aliran tunai serta menyediakan sumber kewangan tambahan bagi kegiatan perniagaan sedia ada dan masa hadapannya.
Pembangunan itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih kumpulan secara berperingkat selaras dengan piawaian perakaunan yang berkenaan.
PTT Synergy berkata, projek itu terdedah kepada risiko lazim pembangunan hartanah termasuk kos pembinaan, ketersediaan bahan dan tenaga kerja, tempoh kelulusan kawal selia serta risiko berkaitan penyiapan pembinaan.
Pembangunan itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham PTT Synergy, namun masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri dan agensi kerajaan berkaitan. Tiada pengarah, pemegang saham utama syarikat atau pihak yang mempunyai hubungan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam pembangunan tersebut. - DagangNews.com






