amree09/09/2026 - 10:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept — Pemulihan prestasi Swift Energy Technology Berhad mula menunjukkan perkembangan ketara dalam tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2026 (9MFY26), kata TA Research.
Ujarnya, keuntungan bersih teras melonjak 39.3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM12.7 juta, disokong buku tempahan kukuh berjumlah RM173.1 juta yang memberi keterlihatan pendapatan sehingga FY27.
Tambahnya, pemulihan itu berlaku meskipun hasil kumpulan hanya naik 0.6% kepada RM69.7 juta dalam 9MFY26 dengan peningkatan keuntungan sebahagian besar susulan pengurangan perbelanjaan pentadbiran.
"Kami menjangkakan momentum tersebut terus mengukuh berikutan buku tempahan yang sihat, rancangan pengembangan perniagaan serta prospek industri Swift Energy semakin baik," jelas nota TA Research.
Buku tempahan setakat 7 Ogos 2026 terdiri RM28.4 juta yang dibawa daripada FY25 dan RM144.7 juta kontrak baharu antara Oktober 2025 hingga Julai 2026, dengan nilai mewakili 1.8 kali hasil FY25.
Lebih separuh daripada buku tempahan datang daripada sistem solar fotovolta (PV) kalis letupan (Ex) dan sistem berkaitan, disokong peningkatan aktiviti pelaburan dalam sektor minyak dan gas (O&G).
Pada masa sama ujar TA Research, Swift Energy mula meluaskan jejaknya ke sektor pusat data (DC), termasuk kontrak membekalkan perintang pembumian neutral bagi projek di Thailand dan Malaysia.

"Kami melihat kemasukan ke projek DC sebagai perkembangan penting kerana membuktikan keupayaan kumpulan ini dapat mengaplikasikan kepakaran sistem tenaga di luar pasaran tradisional," katanya.
Kumpulan itu turut memiliki buku tender terkumpul RM173.2 juta setakat 3 Ogos 2026, dengan kadar kejayaan sejarah sekitar 20% hingga 30%, memberikan ruang untuk pengisian semula buku tersebut.
Bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang jelas TA Research, Swift Energy merancang perluasan kawasan binaan kemudahannya di Shah Alam yang dijangka siap pada suku kedua tahun kalendar 2029.
Pelaburan itu turut meliputi mesin CNC, kren atas, perisian CAD/CAM serta pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) membolehkannya mengendalikan banyak projek selain menambah rangkaian produk.
Pada masa sama, kumpulan menyasarkan peluang dalam infrastruktur elektrik DC, produk voltan sederhana, automasi pencawang, pakej kejuruteraan, serta penggabungan dan pengambilalihan (M&A).
"Kami mengunjurkan keuntungan bersih Swift Energy meningkat 31.7% kepada RM16.3 juta bagi FY26, disokong pertumbuhan hasil 15.2%, serta peningkatan margin kasar kepada 47%," kata TA Research.
Ia namun turut menekankan beberapa risiko utama termasuk kesinambungan buku tempahan yang tidak terjamin, kebergantungan kepada pembekal dan rakan teknologi serta risiko mata wang asing.
Bagaimanapun dengan kedudukan tunai bersih RM55.1 juta pada akhir 3QFY26, firma itu memberikan nilai saksama 33 sen sesaham, berdasarkan gandaan 16 kali pendapatan sesaham CY27. - DagangNews.com





