AWC raih momentum pendapatan lebih kukuh menerusi segmen kejuruteraan, pusat data – PublicInvest

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 11:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AWC raih momentum pendapatan lebih kukuh menerusi segmen kejuruteraan, pusat data – PublicInvest Image from: AWC raih momentum pendapatan lebih kukuh menerusi segmen kejuruteraan, pusat data – PublicInvest hamden09/09/2026 - 11:33 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Sept - Segmen kejuruteraan AWC Bhd dijangka terus menjadi pemacu utama momentum pendapatan kumpulan, disokong peningkatan permintaan daripada projek pusat data serta nilai buku tempahan tertunggak yang kukuh, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).

 

Firma penyelidikan itu berkata buku tempahan tertunggak AWC berjumlah RM847.4 juta, dengan segmen kejuruteraan berkaitan pusat data mencatat paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM100 juta.

 

Momentum itu dijangka berterusan apabila pengurusan menyasarkan pengisian semula kontrak tahunan bernilai antara RM100 juta hingga RM120 juta bagi tahun kewangan 2027 (FY27) hingga FY28, khususnya bagi pakej kerja paip dan penyaman udara untuk pusat data serantau.

 

"Pertumbuhan dalam segmen kejuruteraan dilihat penting kepada prospek AWC dalam tempoh sederhana, memandangkan pengembangan infrastruktur pusat data di rantau ini terus membuka peluang kontrak baharu kepada kumpulan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagi FY26, keuntungan bersih teras AWC susut 19.3% tahun ke tahun kepada RM20.1 juta, namun pencapaian itu masing-masing mewakili 104.1% dan 101.3% daripada unjuran firma penyelidikan serta konsensus.

 

Keuntungan bersih dilaporkan pula meningkat 6.2% kepada RM26.4 juta, disokong terutamanya pembalikan susut nilai sebanyak RM6.3 juta pada suku keempat FY26.

 

Kontrak penyelenggaraan fasiliti kerajaan

Selain segmen kejuruteraan, pendapatan berulang daripada kontrak penyelenggaraan fasiliti kerajaan dan sokongan hospital turut dijangka memberikan sokongan kepada prestasi kumpulan.

 

Pelanjutan konsesi penyelenggaraan fasiliti kerajaan bernilai kira-kira RM70 juta pada FY27 dijangka berlaku, manakala kontrak penyelenggaraan di Hospital Shah Alam, Institut Kanser Negara Putrajaya dan Hospital Orang Asli Gombak dijangka menyumbang sekitar RM50 juta hingga RM60 juta.

 

Dalam pada itu, AWC turut mengalihkan tumpuan segmen alam sekitar ke India berikutan ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah, dengan kumpulan menyasarkan tender infrastruktur awam termasuk projek bandar pintar dan lapangan terbang.

 

Firma penyelidikan itu turut melihat peluang daripada projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, dengan sumbangan pendapatan yang lebih ketara dijangka bermula pada CY27 menerusi tender pakej khusus seperti kerja landasan, peralatan depoh dan sistem penyelenggaraan.

 

AWC kini mempunyai buku tempahan berkaitan rel bernilai RM72.1 juta, termasuk kontrak penggantian rel konduktor bagi Laluan Ampang milik Prasarana.

 

Secara keseluruhan, firma itu kekal positif terhadap prospek AWC, dengan segmen kejuruteraan dan pusat data dilihat sebagai tonggak pertumbuhan utama, manakala perniagaan konsesi dan penyelenggaraan hospital menyediakan asas pendapatan berulang.

 

Susulan prospek yang lebih baik, unjuran keuntungan bersih teras FY27 dan FY28 dinaikkan masing-masing 10.3% dan 5.8% kepada RM27.8 juta dan RM29.4 juta, berbanding RM25.2 juta dan RM27.8 juta sebelum ini.

 

Firma penyelidikan mengekalkan saranan ‘BELI’ terhadap AWC, sambil menaikkan harga sasaran kepada RM0.65 daripada RM0.59, berdasarkan penilaian 10 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27 bagi pendapatan sesaham terdilusi sebanyak 6.50 sen.

 

Risiko utama termasuk kemungkinan kontrak konsesi kerajaan tidak diperbaharui serta kelewatan berterusan projek di Timur Tengah. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved