liza29/09/2026 - 18:29 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Sept – VS Industry Berhad mencatat kerugian bersih RM55.26 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 (FY2026), selepas tempahan daripada pelanggan utamanya menurun.
Prestasi tahunan syarikat turut dipengaruhi penggunaan kapasiti pengeluaran yang lebih rendah serta usaha pelanggan mengoptimumkan kos.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata hasil bagi FY2026 susut kepada RM3.65 bilion berbanding RM3.79 bilion pada FY2025 manakala keuntungan sebelum cukai berubah kepada kerugian RM32.9 juta daripada keuntungan RM75 juta sebelumnya.
Menurut VS, prestasi tahunan terjejas akibat tempahan lebih rendah daripada pelanggan utama berikutan sentimen pengguna global yang lemah, sekali gus menjejaskan kadar penggunaan kapasiti pengeluaran serta dipengaruhi usaha pelanggan mengoptimumkan kos.
Kerugian turut dipengaruhi kemerosotan nilai aset
Kerugian turut dipengaruhi kemerosotan nilai (impairment) loji dan peralatan sebanyak RM39.7 juta bagi FY2026, berbanding RM7.1 juta pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, prestasi suku keempat menunjukkan perkembangan lebih baik apabila hasil bagi tiga bulan berakhir 31 Julai 2026 meningkat 16.3% kepada RM998.6 juta berbanding RM858.8 juta dalam suku sama tahun sebelumnya, manakala kerugian sebelum cukai mengecil kepada RM18.3 juta daripada RM30.6 juta.
Bagi tempoh yang sama, kerugian bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham turut mengecil kepada RM22 juta berbanding RM33 juta setahun sebelumnya.
Tempahan pelanggan mula pulih pada suku akhir
Berbanding suku sebelumnya, hasil VS meningkat daripada RM804 juta kepada RM998.6 juta, manakala kerugian sebelum cukai berkurang daripada RM35.4 juta kepada RM18.3 juta. Syarikat berkata peningkatan tempahan daripada pelanggan utama menjadi antara faktor yang membantu mengecilkan kerugian tersebut.
Mengikut segmen, operasi Malaysia kekal sebagai penyumbang hasil terbesar dengan RM3.02 bilion bagi FY2026, diikuti Indonesia sebanyak RM289 juta dan Filipina RM344.9 juta. Namun, hasil segmen Malaysia susut 12.3% sepanjang tahun susulan tempahan pelanggan utama yang lebih rendah.
Segmen Malaysia mencatat kerugian sebelum cukai RM1.5 juta berbanding keuntungan RM97.8 juta pada FY2025, dengan prestasi turut dipengaruhi kemerosotan nilai loji dan peralatan serta langkah pengoptimuman kos oleh pelanggan.
Prestasi Indonesia bertambah baik, Filipina masih rugi
Sementara itu, operasi Indonesia mencatat keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi bagi suku keempat dan keseluruhan tahun, didorong peningkatan hasil pada suku yang dikaji. Bagi Filipina pula, kerugian sebelum cukai berjumlah RM38 juta untuk FY2026 walaupun kadar penggunaan kemudahan pengeluaran meningkat.
VS berkata operasi Filipina masih belum mencapai tahap pulang modal bagi menampung kos tetap, namun pengeluaran terus meningkat susulan pengenalan model tambahan ke dalam pengeluaran.
Jangka tempahan meningkat pada FY2027
Melangkah ke FY2027, VS melihat tempahan pelanggan mula menunjukkan peningkatan menjelang musim perayaan hujung tahun dan menjangkakan momentum itu berterusan ke suku akan datang. Pelanggan turut merancang pelancaran model baharu pada tahun kewangan berikutnya, manakala operasi Filipina dijangka terus meningkatkan penggunaan kapasiti.
Pada masa sama, VS sedang meneroka peluang di luar perniagaan teras elektronik pengguna bagi mempelbagaikan sumber hasil, selain meneruskan kawalan kos, pengeluaran lebih cekap dan penggunaan kapasiti yang optimum.
Syarikat berkata kedudukan tunai bersih kekal memberikan fleksibiliti kewangan untuk menghadapi keadaan operasi semasa dan mengejar peluang strategik, dengan Lembaga Pengarah menjangkakan keputusan yang memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027. - DagangNews.com






