amree24/08/2026 - 09:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Ogos — D&O Green Technologies Berhad berdepan cabaran besar apabila permintaan lampu LED automotif di China yang lemah menekan prestasi kewangannya, kata Public Investment Bank.
Pada masa sama jelas firma penyelidikan tersebut, pergerakan kadar pertukaran mata wang asing (forex) yang tidak memihak dan susut nilai inventori mencecah RM61.2 juta juga menjejaskan kumpulan.
Situasi itu ujarnya, menyebabkan kumpulan mencatatkan kerugian bersih RM12.5 juta setelah diambil kira kerugian derivatif sebanyak RM0.5 juta, serta pampasan pelanggan iaitu kira-kira RM7.3 juta.
"Bagaimanapun, prestasi D&O Green menunjukkan pemulihan pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), dipacu kawalan perbelanjaan dan peningkatan kecekapan pengeluaran," tambah PublicInvest.
Langkah berkenaan berjaya menghasilkan penjimatan operasi terkumpul sebanyak RM22.8 juta, selain usaha syarikat berkenaan meningkatkan produktiviti tenaga kerja sepanjang tiga bulan tersebut.
Justeru, firma itu menaik taraf saranan saham daripada 'neutral' kepada 'outperform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 48 sen, berdasarkan penilaian 18 kali pendapatan sesaham (EPS) FY27.

Kata PublicInvest, hasil D&O Green bagi 2QFY26 susut 5.2% kepada RM231.4 juta, terutamanya akibat jualan yang lebih lemah di Asia dan Amerika Utara, meskipun permintaan di Eropah meningkat 8.7%.
"Selain permintaan automotif China yang perlahan, penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) memberi kesan kerana kira-kira 30% jualan kumpulan didenominasikan dalam mata wang itu," jelasnya.
Namun, kadar penggunaan kapasiti naik ketara kepada 77% pada 2QFY26 berbanding 66% pada 1QFY26, manakala jualan Smart LED menyumbang kira-kira 20% daripada keseluruhan jualan LED automotif.
PublicInvest berkata, D&O Green meraih sambutan permintaan LED automotif dari China dan Kesatuan Eropah (EU) sejak Jun 2026, di samping pertambahan tempahan tinggi dari Korea Selatan dan India.
Penggunaan kapasiti di Loji 1 juga naik kepada 90% sejak bulan lalu, manakala perniagaan modul atau pemasangan papan litar bercetak (PCBA) dijangka mencapai tahap pulang modal menjelang Oktober 2026.
"Dalam perkembangan lain, proses susut nilai inventori kumpulan berkenaan yang kini dianggarkan sekitar RM30 juta setiap suku dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya pada 2QFY27," kata firma itu.
Sementara D&O Green ujar PublicInvest, turut membuka peluang pertumbuhan baharu menerusi cip Smart LED, teknologi LED tanpa wayar dan penjanaan nilai paten bagi mengukuhkan prospek jangka panjang. - DagangNews.com





