PublicInvest unjur PMI Malaysia merosot di bawah paras 50 mata pada suku ketiga 2023
azan
04/07/2023 - 16:57
KUALA LUMPUR 4 Julai - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) menjangkakan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Malaysia merosot di bawah paras kritikal 50 mata pada suku ketiga 2023 disebabkan tekanan inflasi, kesan kadar faedah dan konflik geopolitik yang berterusan.
Bacaan di bawah 50 menandakan penguncupan dalam keadaan pasaran dan pada Jun, PMI Malaysia mencatatkan bacaan 47.7.
“Unjuran kami menunjukkan bahawa sektor pembuatan akan menyederhana lagi hanya 2% pada 2023 berbanding 8.1% pada 2022.
“Pada masa ini, terdapat tanda-tanda terhad bagi pemulihan dalam industri elektrik dan elektronik (E&E), walaupun dalam kadar penguncupan yang sederhana pada tahun ini.
"Tambahan pula, prospek perniagaan adalah suram kerana syarikat berdepan dengan penurunan pesanan domestik dan antarabangsa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, beberapa negara ASEAN, termasuk Thailand (53.2), Indonesia (52.5) dan Filipina (50.9), telah mempamerkan bacaan PMI yang mampan melebihi ambang kritikal 50 mata.
Sektor pembuatan Malaysia mengalami penyusutan selanjutnya pada Jun, memberikan cabaran tambahan kepada perniagaan kerana keadaan ekonomi yang lemah menyekat pengeluaran dan permintaan.
Katanya, tahap pengeluaran dikurangkan dengan ketara, disertai dengan penyederhanaan paling ketara dalam pesanan baharu sejak Januari.
Firma itu berkata, walaupun persekitaran rantaian bekalan yang lebih baik telah memberi manfaat kepada operasi, terdapat tanda-tanda peningkatan tekanan inflasi disebabkan beban kos purata.
"Pengilang Malaysia mengekalkan tahap optimis mengenai pengeluaran masa depan, menjangkakan peningkatan dalam permintaan pada separuh kedua tahun yang boleh meningkatkan jualan.
"Bagaimanapun, keyakinan keseluruhan merosot ke paras terendah sejak Julai 2021 apabila pemilik perniagaan menyatakan kebimbangan mengenai masa pemulihan yang dijangkakan," katanya. - DagangNews.com

