Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur antara 7 negeri catat peningkatan eksport bagi Mei 2026 - DOSM

LocalBusiness & Finance
26 Jun 2026 • 5:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur antara 7 negeri catat peningkatan eksport bagi Mei 2026 - DOSM Image from: Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur antara 7 negeri catat peningkatan eksport bagi Mei 2026 - DOSM amree26/06/2026 - 17:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Jun — Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur muncul antara tujuh negeri mencatatkan peningkatan eksport tertinggi negara pada Mei 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Perkembangan positif itu sekali gus menjadi pemacu utama lonjakan perdagangan Malaysia yang mencecah RM327.6 bilion, dengan nilai eksport negara ini meningkat sebanyak RM57.4 bilion.

 

Angka itu bertambah 45.3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM184 bilion, berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan Pulau Pinang merekodkan peningkatan eksport terbesar iaitu sebanyak RM50 bilion.

 

"Ini diikuti Johor (RM6.6 bilion), Kuala Lumpur (RM2.1 bilion), Sarawak (RM1.7 bilion), Perak (RM504.4 juta), Terengganu (RM346 juta) dan Kelantan (RM35.7 juta)," kata DOSM dalam kenyataan.

 

Prestasi eksport yang kukuh ini disokong oleh peningkatan penghantaran dari beberapa negeri utama, terutamanya Pulau Pinang yang terus memainkan peranan sebagai hab eksport terbesar wilayah utara.

 

perdagangan_DagangNews2026

 

Bagaimanapun, beberapa negeri merekodkan penyusutan nilai termasuk Sabah apabila merosot sebanyak RM1.1 bilion, diikuti Pahang (RM905.8 juta), Melaka (RM569.7 juta) dan Selangor (RM509.1 juta).

 

DOSM menambah, turut mencatatkan penurunan eksport bagi Mei 2026 ialah Labuan iaitu RM282.9 juta, disusuli oleh Kedah (RM183.4 juta), Negeri Sembilan (RM154.1 juta) dan Perlis (RM10.3 juta).

 

Dari segi sumbangan keseluruhan, Pulau Pinang kekal hab eksport terbesar Malaysia dengan 52.1% daripada jumlah itu, diikuti Johor (17%), Selangor (12.7%), Sarawak (5%) dan Kuala Lumpur (3.7%).

 

"Sementara itu, import negara turut mencatatkan pertumbuhan positif apabila didapati meningkat sebanyak RM17.8 bilion atau 14.1% kepada RM143.6 bilion berbanding pada Mei 2025," jelasnya.

 

Peningkatan itu kata DOSM, dipacu oleh Pulau Pinang yang mencatat kenaikan RM13.2 bilion, Johor (RM9.2 bilion), Kedah (RM1.3 bilion), Negeri Sembilan (RM1 bilion) dan Kuala Lumpur (RM496.4 juta).

 

Pada masa sama, Selangor merekodkan penurunan import terbesar RM4.7 bilion, diikuti Melaka (RM1.4 bilion), Perak (RM215.8 juta), Perlis (RM117.2 juta), Sarawak (RM55.1 juta) dan Kelantan (RM41.3 juta).

 

Dalam pada itu, Pulau Pinang ujarnya, terus kekal sebagai negeri pengimport terbesar di negara ini dengan sumbangan 29.4% daripada keseluruhan import Malaysia. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved