Pulau Pinang mahu kerajaan Persekutuan pulangkan 20% hasil kutipan cukai negeri

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 6:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pulau Pinang mahu kerajaan Persekutuan pulangkan 20% hasil kutipan cukai negeri Image from: Pulau Pinang mahu kerajaan Persekutuan pulangkan 20% hasil kutipan cukai negeri amree05/11/2026 - 18:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov — Kerajaan Pulau Pinang akan terus mendesak kerajaan Persekutuan agar sekurang-kurangnya 20% daripada hasil cukai yang dikutip di negeri berkenaan dapat dikembalikan bagi membiayai banyak projek pembangunan serta memenuhi keperluan rakyat.

 

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, tuntutan tersebut bukan sekadar berkaitan pembahagian hasil yang lebih adil, sebaliknya turut membabitkan hak dan fleksibiliti kerajaan negeri itu menentukan keutamaan perbelanjaan serta mengurus peruntukan diterima.

 

"Langkah pemulangan hasil berkenaan adalah penting bagi memastikan dana disalurkan itu akan dapat dimanfaatkan semula mengikut perkembangan ekonomi semasa, keperluan setempat dan kepentingan rakyat di kawasan yang belum lagi membangun," jelas beliau.

 

ADUN Padang Kota yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Khamis.

 

Kon Yeow yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi negeri berkata, kerajaan Pulau Pinang menghargai kelulusan peruntukan berbilion-bilion ringgit oleh Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek pembangunan negeri.

 

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri berkenaan akan terus memperjuangkan cadangan pemulangan sekurang-kurangnya 20% hasil cukai itu menerusi saluran perundangan dan kewangan yang bersesuaian demi kepentingan rakyat Pulau Pinang sendiri.

 

Pulau Pinang_DagangNews2026

 

Justeru, beliau turut menyambut baik cadangan penubuhan Suruhanjaya Hubungan Kerajaan Persekutuan-Negeri atau Suruhanjaya Geran Persekutuan-Negeri bagi menyokong kajian semula mengenai formula pengagihan hasil menerusi Majlis Kewangan Negara.

 

"Mekanisme itu berpotensi mewujudkan pengagihan hasil yang lebih telus dan seimbang dengan mengambil kira sumbangan ekonomi serta keperluan setiap negeri," jelas Kon Yeow lagi.

 

Mengenai cadangan perluasan penggunaan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) bagi membiayai projek tebatan banjir, beliau berkata urusan itu masih tertakluk kepada skop dan garis panduan ditetapkan Kementerian Kewangan (MoF).

 

Bagaimanapun ujar beliau, peruntukan sedia ada belum lagi tidak mencukupi untuk menampung keperluan sebenar penyelenggaraan jalan serta kerja lain yang dibenarkan.

 

Sehubungan itu, sebarang cadangan perluasan skop penggunaan dana berkenaan perlu disertai peningkatan peruntukan supaya keutamaan penyelenggaraan jalan negeri tidak terjejas.

 

Menjawab soalan tambahan Gooi Hsiao Leung (PKR-Bukit Tengah), Kon Yeow berkata usaha mendapatkan fleksibiliti lebih besar atau pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi hak dan kepentingan negeri bukan perkara mudah serta memerlukan kerjasama kedua-dua peringkat kerajaan.

 

"Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Negeri-Persekutuan DUN Pulau Pinang sudah mengambil inisiatif menganjurkan persidangan dengan menjemput 13 negeri, dengan tujuh daripadanya hadir termasuk negeri yang mempunyai kecenderungan politik berbeza," katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved