amree05/11/2026 - 16:00 Gambar kredit Guan Ming Daily Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov — Sebanyak 27,734 kompaun parkir yang dikeluarkan menerusi sistem pengecaman nombor pendaftaran automatik (ANPR) di Pulau Pinang dibatalkan, manakala RM203,170 dipulangkan kepada pengguna selepas pelaksanaan sistem itu dihentikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H'ng Mooi Lye berkata, daripada jumlah kompaun yang dibatalkan tersebut, sebanyak 27,485 dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sepanjang tempoh penguatkuasaan.
"Baki kira-kira 249 kompaun pula dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)," katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Khamis.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, sebanyak 6,470 kompaun daripada jumlah keseluruhan itu sudah dibayar oleh pengguna, merangkumi kira-kira 6,441 kompaun MBPP dan 29 kompaun MBSP.
Daripada jumlah bayaran tersebut ujar Moon Lye, MBPP sudah memulangkan sejumlah RM202,435 kepada pengguna terbabit, manakala MBSP membuat bayaran balik sebanyak RM735.

Beliau menjawab soalan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubuk) mengenai kos pelaksanaan sistem ANPR, pengajaran daripada kontroversi pelaksanaannya serta jumlah kompaun yang sudah dibatalkan di samping ingin tahu berapakah bayaran balik dibuat.
Pada Ogos 2026, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan MBPP dan MBSP akan menghentikan serta-merta penggunaan sistem ANPR untuk mengeluarkan kompaun, sementara menunggu semakan terhadap pelaksanaannya susulan maklum balas orang ramai.
Sebelum ini, Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran dilaporkan berkata, sejak sistem itu diperkenalkan pada 24 April 2025, pihak berkuasa tempatan berkenaan mengeluarkan purata kira-kira 7,000 kompaun setiap bulan bagi pelbagai kesalahan parkir.
"Mengulas kos pelaksanaan sistem itu, kedua-dua pihak berkuasa tempatan tidak menanggung sebarang perbelanjaan tambahan kerana pelaksanaannya termasuk dalam kontrak sedia ada dengan HeiTech Padu Berhad," jelas Moon Lye.
Menurut beliau, semua perbelanjaan yang berkaitan dengan pelaksanaan sistem ANPR itu ditanggung sendiri oleh syarikat berkenaan. - DagangNews.com






