Pulau Pinang terbuka teruskan penganjuran festival muzik

LocalTravel
12 May 2026 • 10:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pulau Pinang terbuka teruskan penganjuran festival muzik
Wong Hon Wai

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang terbuka untuk meneruskan penganjuran festival muzik termasuk Rave Music Festival pada masa akan datang sekiranya mempunyai bajet, lokasi dan penganjur yang bersesuaian.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, konsep festival muzik tersebut sebenarnya pernah diperkenalkan ketika penganjuran Penang Bridge International Marathon (PBIM) 2024 yang diadakan di Batu Kawan.

Menurutnya, acara itu diadakan pada waktu malam sebelum larian berlangsung dan mendapat sambutan dalam kalangan peserta.

“Ketika PBIM dipindahkan ke Batu Kawan pada tahun 2024, kita telah mengadakan satu Rave Music Festival sebelum acara kemuncak larian itu berlangsung.

“Mungkin ramai yang tidak mengetahui kerana ia berlangsung sekitar jam 9 hingga 10 malam, namun peserta yang hadir dapat menikmati pengalaman berlari sambil disertai elemen hiburan dan muzik,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Pulau Pinang ke-15 di sini pada Selasa.

Hon Wai (DAP-Paya Terubong) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Joseph Ng Soon Siang (DAP-Air Itam) mengenai perancangan kerajaan negeri untuk menganjurkan Rain Rave Festival di Pulau Pinang.

Tambah beliau, kerajaan negeri melihat festival muzik sebagai salah satu acara yang berpotensi untuk terus dikembangkan bagi menarik penyertaan serta memeriahkan acara pelancongan dan sukan di negeri itu.

“Dengan bajet yang bersesuaian, lokasi yang sesuai dan penganjur yang tepat, saya rasa kita boleh meneruskan lebih banyak festival muzik pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Hon Wai berkata, Kerajaan Pulau Pinang melalui Penang Global Tourism (PGT) merangka pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh penawaran pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Katanya, antara produk pelancongan dan tarikan baharu yang dibangunkan oleh agensi kerajaan negeri serta pihak swasta termasuk Galeri Automotif Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Galeri Arkeologi Guar Kepah, Ferringhi Bay dan Penang Waterfront Convention Centre.

Tambah beliau, turut diperkenalkan ialah Galeri Seni Lin Xiang Xiong, Penang History Gallery, Penang Indian Heritage Gallery and Cultural Centre, Penang Ferry Museum serta Straits Oriental Museum.

“Selain itu, beberapa lagi produk pelancongan berasaskan pengalaman interaktif turut dibangunkan seperti Penang River Cruise, Entopia by Night, Galeri Penang Hill @ Edgecliff, Umi Umi dan Forest Island.

“Kerajaan negeri memaklumkan pembangunan produk pelancongan itu memberi penekanan kepada pengalaman pelancong yang lebih interaktif berasaskan warisan, budaya dan alam semula jadi bagi menarik pelbagai segmen pengunjung domestik serta antarabangsa.

“Dari aspek promosi pelancongan pula, PGT mempergiatkan pelbagai usaha pemasaran di peringkat domestik dan antarabangsa termasuk melalui pelaksanaan kempen digital menerusi platform Penang Travel Deals,” ujarnya.

Hon Wai berkata, usaha lain termasuk penganjuran lawatan suai kenal melibatkan media dan ejen pelancongan selain penyertaan dalam misi jualan serta pameran pelancongan di pasaran utama dan baharu seperti China, Indonesia, Thailand, Singapura dan India.

Tambahnya lagi, kerjasama strategik turut dijalinkan dengan syarikat penerbangan, agensi pelancongan dalam talian dan rakan media bagi memperluaskan capaian promosi serta meningkatkan publisiti Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan utama negara.