SHAH ALAM – Pandangan bahawa sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia hanya mengehadkan kuasa Raja-raja Melayu kepada aspek adat Melayu, agama Islam dan fungsi tertentu seperti pelantikan Menteri Besar serta pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan sebagai tafsiran sempit yang bercanggah dengan sejarah perundangan negara.
Pakar Perlembagaan, Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, punca kuasa Perlembagaan di Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan adalah terletak pada Raja-raja Melayu yang kekal berdaulat menurut lunas Perlembagaan.
Menurut beliau, kefahaman bahawa Malaysia mewarisi sepenuhnya sistem Westminster sehingga memisahkan kedudukan Raja-raja Melayu daripada struktur pemerintahan negara merupakan kekeliruan yang timbul selepas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.
“Ramai beranggapan terdapat pemisahan kuasa antara raja dengan Menteri Besar serta ahli eksekutif lain, sedangkan sistem perlembagaan tanah air mewarisi kedaulatan watan Negeri-negeri Melayu dan bukannya semata-mata warisan Westminster.
“Kedaulatan Raja-raja Melayu di setiap Negeri Melayu itulah yang mendirikan Persekutuan Tanah Melayu sebelum berkembang menjadi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua berhubung titah Sultan Selangor mengenai isu penternakan babi di negeri itu.
Wan Ahmad Fauzi menjelaskan, Perkara 38(4) dan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan sendiri memperuntukkan bahawa sebahagian besar pindaan Perlembagaan memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja.
Menurutnya, hakikat itu membuktikan kedudukan Raja-raja Melayu bukan sekadar simbolik, sebaliknya menjadi tunjang penting dalam kerangka Perlembagaan negara.
“Tafsiran terhadap titah Yang di-Pertuan Agong dan Sultan tidak boleh dilihat secara terlalu terbatas hanya berdasarkan butiran Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Kewajipan dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong serta Sultan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan perlu dilihat dalam konteks lebih luas termasuk amalan titah diraja ketika pembukaan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Beliau berkata, titah diraja yang disampaikan dalam pembukaan sidang Parlimen dan DUN kemudiannya dibahaskan sebagai panduan kepada ahli legislatif dalam menggubal dasar serta menyemak polisi kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan bahawa rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem yang membolehkan raja mengeluarkan titah berkaitan kehidupan rakyat sebagai pandangan yang tidak memahami sejarah dan prinsip undang-undang negara.
Mengulas isu penternakan babi di Selangor, beliau berkata, titah Sultan Selangor dibuat dalam konteks tanggungjawab baginda sebagai Ketua Agama Islam dan ketua negeri bagi memelihara keharmonian masyarakat serta kepentingan awam.
Menurutnya, titah tersebut juga tidak menafikan hak masyarakat bukan Islam untuk mendapatkan bekalan makanan mereka kerana daging babi masih boleh diimport ke negeri itu.
“Pada masa sama, umat Islam berdepan isu pencemaran alam sekitar akibat penternakan babi selain kebimbangan terhadap kandungan makanan yang mempunyai unsur babi secara tersembunyi.
“Justeru, titah Tuanku Sultan untuk menghentikan industri penternakan babi di Selangor dilihat sebagai langkah pencegahan terhadap ancaman tersebut,” katanya.
Tambah beliau, semua pihak termasuk pelaksana kuasa dalam badan legislatif, eksekutif dan kehakiman perlu memahami bahawa fungsi kuasa yang dilaksanakan mereka adalah bersumberkan kedaulatan Raja-raja Melayu menurut Perlembagaan.
Katanya, mereka juga terikat dengan tanggungjawab untuk melaksanakan fungsi berkenaan selaras dengan prinsip kedaulatan, keluhuran Perlembagaan dan etika kuasa yang diwarisi negara.
“Rakyat yang diberikan kerakyatan sebagai rakyat Raja Melayu dan kemudiannya dikenali sebagai warganegara Persekutuan perlu sentiasa menjunjung prinsip kedaulatan, keluhuran Perlembagaan serta beradab apabila membicarakan kedudukan Raja-raja Melayu,” ujarnya.






