
PETALING JAYA – Punca nahas helikopter Bolkow BO105 di STOLport Long Lellang, Miri, Sarawak pada 8 September lalu masih belum dimuktamadkan.
Berdasarkan laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), Kementerian Pengangkutan, penyiasat masih mengumpul dan meneliti fakta berkaitan operasi penerbangan, prosedur operasi standard (SOP) serta sejarah penyelenggaraan helikopter berkenaan.
AAIB memaklumkan maklumat yang diperoleh setakat ini masih di peringkat awal dan memerlukan penelitian lanjut bagi mengesahkan keberkesanan sistem keselamatan serta menilai kemungkinan wujudnya kelemahan yang menyumbang kepada kejadian.
“Analisis menyeluruh terhadap fakta yang dikumpulkan akan dilaksanakan sebelum dapatan akhir, termasuk punca dan faktor penyumbang nahas, diperincikan dalam laporan akhir siasatan,” kata laporan itu.
Laporan itu turut mendedahkan, pengendali pesawat sebelum ini disarankan menggantung operasi pesawat yang menggunakan jenis enjin sama seperti helikopter terbabit sebagai langkah berjaga-jaga sementara menunggu pengesahan kelayakan udara dan pelaksanaan pembaikan yang diperlukan.
Bagaimanapun, pada 13 September lalu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan tiada bantahan teknikal terhadap pengoperasian semula helikopter BO105, pendaftaran 9M-LLS, dan pesawat Nomad N22, pendaftaran 9M-LLB, yang dilengkapi jenis enjin sama.
“CAAM turut menegaskan bahawa pengendali pesawat bertanggungjawab memastikan kedua-dua pesawat berkenaan kekal layak terbang dan selamat untuk beroperasi,” ujarnya.
Sehubungan itu, pengendali STOLport disarankan menyemak semula kemudahan menyelamat dan memadam kebakaran, termasuk memastikan anggota bantuan menerima latihan sewajarnya serta peralatan keselamatan sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan.
Sebelum ini, media melaporkan helikopter itu terhempas di hujung landasan terbang Long Lellang kira-kira pukul 3.40 petang.
Beliau berkata, semua lima mangsa yang berada dalam helikopter berkenaan ditemukan di dalam bangkai pesawat yang kemudian terbakar.
Dalam kejadian itu, helikopter berkenaan membawa seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan yang menjalankan perkhidmatan doktor udara.
Mangsa dikenal pasti Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30,Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44, dan Alexson Adit Henry, 31. – KOSMO! ONLINE
The post Punca nahas helikopter di Sarawak belum dimuktamadkan appeared first on Kosmo Online.





