
PETALING JAYA: Punca nahas helikopter Bolkow BO105, 9M-LLF yang terhempas berhampiran landasan STOLPort Long Lellang, Miri, Sarawak pada 8 September lalu masih belum dikenal pasti.
Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan Malaysia berkata, siasatan masih diteruskan bagi menentukan punca dan faktor penyumbang kepada kemalangan.
Katanya, maklumat dalam laporan awal tertakluk kepada pindaan berdasarkan bukti tambahan.
Katanya, analisis menyeluruh serta kesimpulan siasatan akan diperincikan dalam laporan akhir.
“Siasatan ini bertujuan mencegah kemalangan berulang, bukan untuk menentukan kesalahan atau liabiliti mana-mana pihak.
“Siasatan masih diteruskan bagi menentukan punca kejadian yang dipercayai punca kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kementerian turut menghargai usaha BSKU serta kerjasama semua pihak yang membantu siasatan dan kekal komited untuk memperkukuh keselamatan penerbangan negara.
Pada 8 September lalu, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) Long Lellang.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Alexson Adit Henry, Debra Moset, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Jessie Paya Jok dan Kapten Zainol Afiq Bee Sham. – UTUSAN
The post Siasatan nahas helikopter Long Lellang masih diteruskan appeared first on Utusan Malaysia.






