
PUTRAJAYA – Walaupun jasad Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sudah selamat disemadikan dua hari lalu, namun pusaranya di Pusara Negara, Presint 20 di sini terus menjadi tumpuan orang ramai.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! hari ini, orang ramai mula hadir seawal pukul 7 pagi selepas pintu pagar kubur di Pusara Negara dibuka untuk memberikan penghormatan kepada Allahyarham.
Selain membaca surah Yasin untuk disedekahkan kepada Allahyarham, ada yang berkesempatan menyiram air mawar sebagai tanda kasih dan penghormatan selain ada antara mereka dalam diam menitiskan air mata.
Selain itu, ada juga yang berpeluang menziarahi pusara Allahyarham Tun Endon Mahmood, isteri Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terletak bersebelahan pusara Tun Siti Hasmah.
Sementara itu, salah seorang pengawal keselamatan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya ketika ditemui berkata, orang ramai mula menziarahi pusara Allahyarhamah seawal 7 pagi tadi sebaik pintu pagar dibuka.
“Sejak dua hari lalu, orang ramai tidak putus-putus mengunjungi pusara Allahyarhamah termasuk sehingga pukul 10 malam tadi.
“Kawasan (tanah perkuburan) ini dibuka seawal pukul 7 pagi dan ditutup pukul 10 malam. Namun, ada yang singgah ziarah pada waktu malam kerana laluan ini adalah alternatif bagi penduduk Putrajaya yang mahu ke Dengkil,” katanya.
Allahyarham Tun Siti Hasmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Isnin lalu.
Tun Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak. – KOSMO! ONLINE
The post Pusara Tun Siti Hasmah terus diziarah, rakyat panjat doa, zahir rindu appeared first on Kosmo Online.





