Pusat data, logistik antara pemacu utama Aeropolis KLIA - Juwai IQI

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 12:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pusat data, logistik antara pemacu utama Aeropolis KLIA - Juwai IQI Image from: Pusat data, logistik antara pemacu utama Aeropolis KLIA - Juwai IQI hamden20/10/2026 - 12:23 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt - Pembangunan Aeropolis di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka memasuki fasa pertumbuhan baharu dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan sektor berkaitan penerbangan, logistik, perhotelan dan pusat data berpotensi menjadi pemacu utama pelaburan di kawasan berkenaan.

 

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, terdapat empat perkembangan utama yang berpotensi membentuk hala tuju Aeropolis, meliputi kemasukan syarikat logistik dan penyelenggaraan pesawat, pembinaan hotel baharu, kemungkinan kembalinya perlumbaan Formula 1 (F1) ke Malaysia serta permintaan daripada pengendali pusat data.

 

Menurutnya, kawasan pembangunan seluas 8,537 ekar itu mempunyai potensi besar untuk berkembang menjadi hab komersial dan perniagaan yang semakin penting kepada ekonomi negara, susulan kedudukannya yang strategik berhampiran KLIA.

 

“Industri yang mempunyai kaitan langsung dengan perjalanan udara akan menarik pelaburan paling besar dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, aktiviti seperti pengendalian kargo dan penyelenggaraan pesawat berpotensi menjadi antara tarikan utama pelaburan, berbanding pembangunan berorientasikan pelancongan seperti taman tema.

 

China, misalnya, memilih KLIA sebagai pintu masuk pengendalian kargo ke ASEAN, manakala anak syarikat logistik Alibaba telah mengendalikan hab pemenuhan pesanan seluas 60 ekar di kawasan berkenaan.

 

Selain itu, kampus Universiti Xiamen Malaysia di Serenia City yang terletak berhampiran turut menjadi sebahagian daripada ekosistem yang berpotensi menarik lebih banyak syarikat logistik dan hospitaliti dari China.

 

Hotel Baharu 

Ramalan kedua ialah pembinaan hotel baharu berhampiran KLIA bagi memenuhi permintaan penginapan yang semakin meningkat.

 

Kejayaan penganjuran perlumbaan Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain di Malaysia yang menarik lebih 260,000 penonton ke Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang menunjukkan potensi permintaan penginapan di kawasan berkenaan.

 

Kashif berkata, kekurangan bilik hotel ketika hujung minggu perlumbaan menyebabkan kadar penginapan meningkat sehingga tiga kali ganda, sekali gus membuka ruang kepada sekurang-kurangnya satu jenama hotel utama untuk mempertimbangkan pembangunan baharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Ramalan ketiga pula melibatkan kemungkinan Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan F1, sekiranya kejayaan acara berkenaan mencetuskan perbincangan mengenai komitmen penganjuran untuk tempoh beberapa tahun.

 

Menurut Kashif, Malaysia mempunyai peminat, kepakaran dan litar perlumbaan yang diperlukan, dengan satu-satunya perkara yang masih belum ada ialah perlumbaan itu sendiri.

 

Sekiranya cadangan tersebut direalisasikan, ia berpotensi meningkatkan tarikan kawasan Sepang serta menyokong pertumbuhan sektor perhotelan, pelancongan dan perkhidmatan berkaitan.

 

Pelabur pusat data

Ramalan keempat ialah kemasukan pengendali pusat data yang berpotensi memanfaatkan keluasan tanah Aeropolis serta bekalan tenaga boleh baharu.

 

Kashif berkata, sebuah taman solar sedang dibangunkan dan dijangka mula beroperasi tahun depan, selain kawasan itu masih mempunyai ruang untuk pengembangan penjanaan tenaga mampan.

 

Gabungan keluasan tanah dan akses kepada bekalan tenaga merupakan antara keperluan penting bagi pembangunan pusat data, sekali gus menjadikan Aeropolis berpotensi menarik pelaburan dalam sektor berkenaan.

 

Beliau berkata, Aeropolis bukan sekadar kawasan pembangunan berhampiran lapangan terbang, malah berpotensi menjadi tapak komersial strategik di Lembah Klang dan memainkan peranan lebih besar dalam ekonomi negara.

 

“Dahulu, lapangan terbang dibina oleh bandar. Kini, lapangan terbang pula membina bandar,” katanya.

 

Penganalisis PwC menganggarkan pembangunan KLIA Aeropolis berpotensi menyumbang RM30 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mewujudkan 56,000 pekerjaan dalam tempoh 15 tahun.

 

Anak syarikat Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mempunyai hak pajakan jangka panjang daripada kerajaan untuk membangunkan lebih 8,000 ekar tanah di kawasan berkenaan.

 

Pelan induk Aeropolis memberi keutamaan kepada pembangunan kelompok perniagaan, aeroangkasa dan penerbangan serta kargo dan logistik.

 

Walaupun rancangan asal turut memperuntukkan 200 ekar untuk pusat konvensyen dan pameran serta hotel perniagaan, selain 500 ekar untuk taman tema, dewan konsert dan padang golf, pembangunan sedemikian bukan lagi keutamaan utama.

 

Bukan taman perumahan

Kashif berkata, kawasan Aeropolis juga tidak berkemungkinan dibangunkan sebagai kawasan perumahan mampu milik walaupun keluasan tanahnya secara teori boleh menampung kira-kira 48,000 rumah pada kepadatan pembangunan seperti sebuah perbandaran biasa di Sepang.

 

Ini kerana faktor bunyi pesawat dan zon keselamatan penerbangan menjadikan pembangunan perumahan kurang sesuai berbanding kegunaan komersial seperti pejabat, gudang, pusat pengedaran, kilang berteknologi tinggi, pusat data, ladang solar serta kemudahan riadah dan peruncitan.

 

Bagaimanapun, pertumbuhan perniagaan dan peluang pekerjaan di kawasan sekitar berpotensi memberi manfaat kepada perbandaran berdekatan seperti Salak Tinggi dan Dengkil yang menempatkan pekerja di kawasan lapangan terbang, Putrajaya serta Cyberjaya.

 

KLIA turut mempunyai rangkaian pengangkutan rel melalui KLIA Ekspres dan KLIA Transit yang menghubungkan lapangan terbang ke KL Sentral dalam kira-kira 30 minit, selain akses lebuh raya.

 

Pertumbuhan aktiviti perniagaan dan pekerjaan susulan pembangunan Aeropolis berpotensi meningkatkan permintaan hartanah di kawasan sekitar, sekali gus memberi manfaat kepada pemilik rumah sedia ada. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved