
Kota Kinabalu: Seorang pemilik pusat hiburan didenda RM3,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret pada Selasa kerana menjalankan operasi premis melebihi waktu yang dibenarkan.
Lionil Peter, 29, mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana mengendalikan Spark Bar di Inanam melebihi waktu operasi yang ditetapkan pada jam 3.03 pagi, 22 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958 dan dihukum di bawah Seksyen 11 ordinan sama yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Lionil selaku pemilik premis didapati menjalankan perniagaan hiburan berkenaan selepas waktu operasi yang ditetapkan.
Peguam yang dilantik Lim Ming Zoong yang mewakili Lionil memohon hukuman denda ringan manakala pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pencegahan.
Dalam kes lain seorang lelaki berusia 20 tahun didenda RM2,000 atau penjara dua bulan kerana memiliki slip nombor loteri awam tanpa lesen.
Jacky Phan mengaku bersalah memiliki empat keping kertas yang mengandungi nombor dan huruf yang merupakan rekod loteri awam tanpa lesen di sebuah premis di Plaza Kivatu, Penampang pada jam 3 petang, 18 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa polis menahan Phan, yang disyaki bertindak sebagai ejen operasi loteri awam tanpa lesen, di premis berkenaan.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, wang tunai RM45, sebuah pencetak mudah alih dan empat helai cetakan yang mengandungi nombor.
Hasil siasatan mendapati Phan memiliki empat slip loteri awam tanpa lesen berkenaan.
Inspektor Yusdi Basri dan Dzulfamie Amrin mengendalikan pendakwaan.






