Pusat Khidmat Sehenti Pekerja

LocalPolitics
4 Jun 2025 • 5:37 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

Kota Kinabalu: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan menubuhkan Pusat Khidmat Sehenti Pekerja di Sabah sebagai inisiatif baharu untuk menyatukan pelbagai perkhidmatan berkaitan pekerjaan di bawah satu bumbung.

Menteri berkenaan Steven Sim berkata penubuhan pusat itu di Sabah menandakan langkah terkini ke arah peluasan inisiatif berkenaan ke seluruh negara.

“Kita berharap pusat sehenti ini dapat direalisasikan dalam beberapa bulan akan datang… semua isu pekerja sama ada berkaitan Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Malaysia, Perkeso dan sebagainya boleh dirujuk di satu tempat sahaja,” menurutnya dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja ke Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah (SMSU) di sini, Selasa.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Beliau juga berkata kelulusan Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak di Parlimen pada 2024 adalah pencapaian utama Kesuma selepas tertangguh lebih 20 tahun.

Sim berkata ordinan itu membolehkan penyelarasan hak dan perlindungan pekerja di seluruh negara.

“Kita tidak boleh membiarkan pekerja di Sabah dan Sarawak terus ketinggalan dari segi perlindungan. Kejayaan meminda ordinan-ordinan ini bukanlah hasil usaha saya seorang tetapi usaha bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, kesatuan-kesatuan sekerja, kerajaan negeri serta pegawai-pegawai Kesuma.

“Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025 dan Akta Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2025 telah berkuat kuasa bermula pada 1 Mei 2025 kecuali Bahagian IVA iaitu peruntukan khas berkaitan standard minimum perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja,” katanya.

Beliau juga berharap SMSU dapat meningkatkan bilangan keahlian daripada 8,000 kepada 10,000 orang selaras dengan sasaran nasional untuk menggandakan jumlah ahli kesatuan sekerja daripada sejuta kepada dua juta.

“Untuk menggalakkan penyertaan dalam kesatuan, Kesuma melancarkan inisiatif Kad Pekerja Madani yang menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus di premis dan perniagaan terpilih,” katanya sambil menambah usaha melibatkan lebih banyak syarikat juga sedang giat dijalankan bagi memperluas manfaat kepada setiap ahli.

Presiden SMSU Ajulahin Japin pula berkata pihaknya menghargai pelbagai reformasi sejak Sim menerajui Kesuma, terutama yang menyaksikan penguatkuasaan penuh Ordinan Buruh Sabah pada 1 Mei dan penubuhan Majlis Penasihat Buruh Sabah pada 13 Mei lepas.

Ajulahin juga berkata beliau adalah antara 16 wakil kesatuan sekerja yang menerima watikah pelantikan mereka sebagai ahli jawatankuasa tetap, dan beliau juga dilantik ke jawatankuasa tetap dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) mulai 1 Mei.