Rafizi dakwa kes serangan anaknya ‘mati’ begitu sahaja

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 1:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rafizi dakwa kes serangan anaknya ‘mati’ begitu sahaja

PETALING JAYA: Setahun berlalu, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli mempersoalkan perkembangan siasatan kes serangan terhadap anaknya pada 13 Ogos 2025.

Mohd. Rafizi mendakwa, tiada sebarang perkembangan, meskipun ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan nombor telefon digunakan untuk menghantar mesej ugutan.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, individu yang melakukan serangan serta dalang di sebalik kejadian masih belum dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, beliau akan terus menuntut agar penyerang dan dalang dibawa ke muka pengadilan.

“Hari ini, 13 Ogos, genap setahun berlaku satu peristiwa yang tidak akan dilupakan keluarga saya. Setahun telah berlalu, kes diam dan mati begitu sahaja.

“Saya akan tunggu 13 Ogos setiap tahun sehinggalah orang yang menyerang dan dalang di belakang mereka dibawa ke muka pengadilan

“Kalaupun pihak berkuasa tidak berani mengambil tindakan, saya tahu bukan saja dalang, orang yang menyerang kanak-kanak ini perlu jawab di akhirat nanti, semua yang ada kuasa dan bertanggungjawab tetapi tidak melaksanakan amanah mereka juga perlu jawab di akhirat” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Pada 13 Ogos 2025, Mohd. Rafizi mendedahkan isterinya menerima mesej berbaur ugutan iaitu ‘diam, jika teruskan, AIDS,’ selepas anak lelaki mereka berusia 12 tahun diserang.

Pada hari sama, polis mengesahkan kejadian serangan di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada pukul 2 petang.

Bagaimanapun, anaknya dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

Mohd. Rafizi berkata, beliau dimaklumkan secara tidak rasmi oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai dalang yang disyaki terlibat.

Namun, katanya, permintaan supaya perkara itu dijelaskan secara terbuka di Parlimen tidak dipenuhi.
Katanya, kejadian yang menimpa keluarganya tidak boleh dipandang ringan kerana kaedah serangan dan ugutan sedemikian boleh berlaku terhadap rakyat biasa.

“Kalau ia boleh berlaku kepada anak seorang bekas menteri seperti saya di khalayak ramai, kaedah menyerang dan mengugut seperti ini akan digunakan terhadap rakyat biasa,” katanya.

Sebelum ini, polis memaklumkan, keterangan 19 individu sudah dirakam manakala nombor telefon yang digunakan untuk mengugut isteri Mohd. Rafizi didaftarkan atas nama seorang warga asing.

Bagaimanapun, identiti penyerang masih belum dikenal pasti berikutan rakaman CCTV diperoleh tidak jelas.

Pada Januari lalu, Saifuddin berkata, maklumat tertentu tidak boleh didedahkan kerana dikhuatiri mengganggu usaha mengesan suspek dan menjejaskan keselamatan saksi penting.

Katanya, kes masih dalam siasatan manakala sebarang keputusan untuk mengklasifikasikannya sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) bergantung perkembangan dan petunjuk baharu yang ditemukan polis. – UTUSAN

The post Rafizi dakwa kes serangan anaknya ‘mati’ begitu sahaja appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved