Rais mengaku tidak bersalah atas pertuduhan hasutan

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 10:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rais mengaku tidak bersalah atas pertuduhan hasutan
Rais ditemani isterinya, Puan Sri Masnah Muhamat ketika hadir di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Jumaat.

MELAKA - Bekas Senator Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Jumaat atas pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948.

Beliau berusia 84 tahun memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

ARTIKEL BERKAITAN: Rais bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh esok

Mengikut pertuduhan, Rais didakwa pada 5 Jun 2026 sekitar jam 1 tengah hari di sebuah hotel di Simpang Ampat, Alor Gajah, telah menyebut perkataan yang didakwa menghasut.

Kenyataan disebut “Mendoakan selamat kepada Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12.

“Jadi, selepas ini, bebaslah, yang, Duli Maha Mulia, Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Ke-12, melakukan apa saja hal-hal kedirajaan.

“Dan seruan kami ialah tumpukanlah taat setia kepadanya, oleh kerana kita mengikut lunas undang-undang dan juga lunas adat yang ada di Negeri Sembilan,” 

Rais yang juga Pengerusi Parti Wawasan Negara didakwa melakukan kesalahan mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15), yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar yang mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Rais termasuk anaknya, Danni Rais, bersama Sheela Menon, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, Ahmad Soleh Yusof dan Syahmi Aiman Mohamad Nasir memohon jumlah jaminan lebih rendah.

Peguam memaklumkan anak guam mereka telah memberikan kerjasama dengan hadir ke mahkamah walaupun hanya dimaklumkan mengenai pertuduhan kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta 27 Oktober depan bagi sebutan semula kes.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved