
GEORGE TOWN – Kehadiran wanita warga asing yang menyewa di sebuah flat di Perai, di sini sejak beberapa tahun lalu mula menimbulkan kebimbangan penduduk susulan terdapat beberapa unit dipercayai sering menerima kunjungan lelaki berbeza.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, keadaan itu semakin ketara sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk setempat.
“Cara pemakaian dan keadaan lelaki yang keluar masuk ke rumah tertentu membuatkan kami tertanya-tanya. Sebagai penduduk, kami hanya boleh mengesyaki ada perkara yang tidak kena berlaku.
“Kebiasaannya warga asing yang menyewa akan tinggal beramai-ramai, tetapi apabila satu rumah hanya didiami dua atau tiga orang dan kerap menerima kunjungan lelaki berbeza, memang menimbulkan rasa tidak selesa,” katanya di sini.
Terdahulu, Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang menjalankan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di flat berkenaan susulan aduan penduduk berhubung kehadiran warga asing yang didakwa menimbulkan kegusaran, termasuk dakwaan aktiviti tidak bermoral di beberapa unit kediaman.
Sebanyak 10 rumah yang dikenal pasti dihuni warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan.
Dalam salah satu pemeriksaan, seorang wanita warga Indonesia ditemukan bersama seorang lelaki tempatan di dalam sebuah bilik.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan beberapa warga asing dipercayai cuba mengelak pemeriksaan apabila bertindak berdiam diri dan menyorok di dalam rumah ketika serbuan dijalankan di sebuah flat di Perai.
Dalam operasi itu, anggota penguat kuasa yang memperkenalkan diri serta mengetuk pintu beberapa kali tidak menerima sebarang respons daripada penghuni walaupun terdapat tanda menunjukkan rumah berkenaan berpenghuni. -KOSMO! ONLINE
The post ‘Ramai lelaki keluar masuk rumah tu, jangan-jangan…’ appeared first on Kosmo Digital.






