Ramai pilih bayi, budak terus terpinggir

LocalFamily & Parenting
10 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ramai pilih bayi, budak terus terpinggir

PUTRAJAYA – Bayi berusia bawah 12 bulan menjadi pi­lihan kepada pasangan yang ­ingin mengambil anak pelihara khususnya menerusi institusi bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berbanding kanak-kanak berusia lebih tujuh tahun.

Trend itu menyebabkan peluang kumpulan kanak-kanak ber­usia lebih 7 tahun agak tipis untuk dibesarkan dalam sebuah keluarga sedangkan mereka juga mendambakan kasih sayang serta perhatian.

Pengetua Rumah Kanak-Ka­nak Tengku Budriah, Nur Kha­lidah Ab. Hamid berkata, permohonan memiliki anak pelihara dalam kalangan bayi kekal tinggi dengan hampir 80 peratus pasangan memfokuskan mahu bayi yang memiliki sijil kelahiran dan warganegara Malaysia.

Katanya, permohonan biasanya dibuat oleh pasangan yang tiada zuriat dan ingin merasai pengalaman membesarkan anak sejak bayi.

“Bagi pasangan beragama Islam, anak angkat yang dijaga sejak bayi akan memudahkan proses penyusuan bagi mewujudkan hubungan ibu susuan dan mengelakkan isu aurat dan batas pergaulan bila bayi menginjak dewasa.

“Selain bayi, kanak-kanak berusia bawah tiga tahun juga turut menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai anak pelihara. Kadang kala proses permohonanan mengambil masa kerana tidak semua kanak-kanak JKM mempunyai dokumen lengkap,” katanya kepada Kosmo!.

Image from: Ramai pilih bayi, budak terus terpinggir
KANAK-KANAK berusia tujuh tahun ke atas sudah dilatih mengikut jadual harian di institusi JKM.

Menurut Nur Khalidah, ia berlaku disebabkan bukan semua kanak-kanak diambil di hospital sebaliknya ada yang dibuang tanpa sebarang dokumen kelahiran lengkap menyebabkan proses pengesahan panjang kerana me­libatkan beberapa agensi lain.

Tambahnya, tempoh mengambil bayi lengkap dengan dokumen sekitar enam bulan dan jika sebaliknya boleh memakan masa bertahun.

“Setiap kanak-kanak ada hak untuk disayangi. Jika tanpa kasih sayang bagaimana anak itu mahu membesar dan psikologinya berkembang?” katanya.

Ujar Nur Khalidah, kanak-kanak di institusi JKM sangat istimewa kerana sudah mula berdikari sejak kecil kerana mereka dilatih untuk mengikut jadual seperti waktu makan, mandi dan masa untuk bergerak ke sekolah.

“Sebenarnya mereka yang berusia juga boleh diambil sebagai anak pelihara, tetapi saya faham stigma masyarakat yang mahukan anak tiada masalah.

“Keadaan ini kerana anak-anak kita datang dari pelbagai latar belakang termasuk gelandangan dan pelacuran. Itu antara faktor yang pemohon tidak boleh terima,” katanya.

Sementara itu, katanya, kanak-kanak yang tidak diambil sebagai anak pelihara akan berada di institusi JKM sehingga mereka berusia 18 tahun.

“Kita akan ikut perintah yang ditetapkan, jika sementara, ­biasanya tiga bulan, namun bila ditetapkan, perintah itu akan diperbaharui setiap tiga tahun,” katanya.

Jelasnya, bagi rumah jagaan kanak-kanak, biasanya ia me­nempatkan kanak-kanak baru dilahirkan hingga usia 12 tahun dan akan dipindahkan ke lokasi lain bersesuaian dengan jantina masing-masing sebaik memasuki umur 13 tahun.

“Namun, selepas usia 18 tahun, ada antara mereka sukar beradaptasi dengan dunia luar termasuk untuk bersosial berikutan hanya ada bersama kawan-kawan di rumah jagaan.

“Jadi, perkembangan itu agak membimbangkan dan jika mereka diberi peluang hidup dengan keluarga angkat, ia mampu memberi ruang untuk lebih beradaptasi dengan dunia luar,” katanya.

The post Ramai pilih bayi, budak terus terpinggir appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved