
TAWAU: Empat lelaki, termasuk dua rakyat tempatan, yang disyaki terbabit dalam pengedaran 1,408 pil ekstasi seberat 609.89 gram, bernilai kira-kira RM98,560, direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Permohonan reman dikemukakan pegawai penyiasat, Inspektor Hamka Ab Rashid.
Menurut keterangan kes di mahkamah, empat suspek berusia antara 20 hingga 24 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dalam serbuan Ops Tapis di Jalan Utara pada Selasa (13 Okt), susulan maklumat daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Dalam serbuan kira-kira 3 petang itu, polis mengesan seorang lelaki membawa bungkusan plastik hitam secara mencurigakan ketika memasuki sebuah rumah pekerja, sebelum menahan dua lelaki di bilik tingkat bawah dan menemukan bungkusan berkenaan di ruang tamu.
Seorang lagi lelaki ditahan kira-kira 3.20 petang ketika memasuki rumah itu untuk mengambil bungkusan tersebut. Pemeriksaan mendapati bungkusan itu mengandungi 1,408 pil ekstasi.
Siasatan lanjut membawa kepada penahanan suspek keempat di dalam sebuah Toyota Vios yang diparkir di luar pagar kawasan berkenaan, selepas seorang suspek mendakwa lelaki itu turut terbabit dalam pengedaran pil ekstasi tersebut dan sedang menunggu di lokasi itu.
Toyota Vios berkenaan serta satu alat kawalan jauh turut disita.




