
JAKARTA – Dua rangka manusia yang ditemukan di sebuah rumah terbiar di Banyuasin, wilayah Sumatera Selatan dipercayai merupakan dua adik-beradik perempuan yang hilang sejak Oktober 2021, lapor laman berita Kumparan.
Penemuan mengejutkan itu dibuat oleh seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Rohani, 56, semasa mencari kayu di Keramat Raya, baru-baru ini.
Ketua Polis Banyuasin, AKBP Risnan Aldino berkata, Rohani pada awalnya menemukan rangka motosikal di dalam parit yang kering sebelum melaporkan kepada ketua Rukun Tetangga (RT).
“Mereka kemudian membuat pemeriksaan sebelum menjumpai sebuah rumah terbengkalai kira-kira 10 meter dari lokasi penemuan rangka motosika.
“Di dalam rumah tersebut, mereka menemukan rangka manusia, pakaian dan barang-barang lain. Penemuan dilaporkan kepada polis,” kata Risnan.
Polis melakukan siasatan di lokasi kejadian termasuk mengumpulkan bukti serta kenyataan beberapa saksi.
“Siasatan awal mendapati dua rangka manusia itu milik dua adik-beradik. Mereka dilaporkan pergi ke sekolah dengan menaiki motosikal dan tidak pulang ke rumah sehingga petang pada 27 Oktober 2021,” tambah Risnan.
Siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua individu bernama Rendi Saputra, 27, dan Andika, 25, di dua lokasi berbeza di daerah Talang Kelapa.
RS memberitahu bahawa dia berasa kecewa kerana tidak mendapat kebenaran untuk berkahwin. Suspek turut menyediakan dua bilah pisau sebelum kejadian.
Kedua-dua suspek masih disoal siasat untuk mengenal pasti punca kejadian. – AGENSI
The post Rangka 2 beradik hilang sejak 2021 dalam rumah terbiar appeared first on Kosmo Digital.




