SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor tidak menunggu lama untuk menghantar isyarat sebagai pencabar utama apabila memulakan kempen Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan rentak positif menerusi kemenangan awal beberapa acara, disokong kesiapsiagaan venue dan keyakinan beberapa pasukan memburu pingat emas.
Permulaan memberangsangkan itu memberi petanda awal bahawa kontinjen tuan rumah berada di landasan tepat untuk merealisasikan sasaran 80 pingat emas, selain mengukuhkan reputasi Selangor sebagai penganjur temasya terbesar negara.
Saingan awal yang bermula hari ini melibatkan acara bola tampar pantai, kriket serta bola sepak lelaki dan wanita, sekali gus menandakan bermulanya temasya sukan dwitahunan itu sebelum majlis pembukaan rasmi pada 15 Ogos
1. Persiapan penganjuran di landasan terbaik
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata sebahagian besar persiapan penganjuran telah diselesaikan, termasuk pengesahan pendaftaran atlet oleh pegawai teknikal bagi memastikan kelancaran pertandingan.
Beliau berkata edisi kali ini menghimpunkan lebih 9,200 atlet daripada 14 kontinjen termasuk Brunei yang akan bersaing dalam 469 acara daripada 37 jenis sukan di 52 venue pertandingan di seluruh Selangor. Orang ramai turut dijemput hadir memberikan sokongan kerana kemasukan ke semua venue pertandingan adalah percuma.

2. Gandingan Goh beri tonik awal Selangor
Gandingan adik-beradik Rachael Goh Yu Jie dan Goh Yu Heng memulakan misi memburu emas buat Selangor dengan langkah kanan apabila mudah menundukkan Johor B 21-7, 21-5 dalam aksi bola tampar pantai wanita.
Kemenangan di Gelanggang Bola Tampar MBSA itu menyaksikan pasangan Selangor A yang juga pemain kebangsaan memulakan saingan peringkat awal dengan meyakinkan.
Gandingan Selangor A itu dijadual melengkapkan saingan Kumpulan B menentang Perlis A pada Rabu (12 Ogos).
Kemenangan dalam perlawanan berkenaan akan mengesahkan tempat mereka ke separuh akhir, sekali gus meneruskan misi memburu pingat emas buat kontinjen Selangor.

Skuad kabaddi Selangor turut melaungkan keyakinan untuk menghadiahkan dua pingat emas selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang tahun ini. Pengurus pasukan, V Ravichandran berkata kedua-dua skuad lelaki dan wanita menunjukkan peningkatan berbanding SUKMA Sarawak 2024.
Beliau berkata kejayaan muncul juara dalam beberapa kejohanan terbuka sebelum ini menjadi pemangkin kepada sasaran membantu Selangor muncul juara keseluruhan di laman sendiri.

4. Pejabat kesihatan daerah pantau venue SUKMA
Pejabat kesihatan daerah (PKD) giat menjalankan pemantauan di setiap venue pertandingan sepanjang penganjuran SUKMA 2026 bagi memastikan pematuhan aspek kesihatan awam.
Antara fokus utama pemantauan ialah penguatkuasaan zon larangan merokok serta pemeriksaan kualiti dan keselamatan makanan yang disediakan kepada atlet, pegawai, sukarelawan dan pengunjung.
Pemantauan dilaksanakan sepanjang temasya yang berlangsung dari 11 hingga 24 Ogos ini bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

5. 150 sukarelawan mula bertugas
Kira-kira 150 sukarelawan memulakan tugasan bagi memastikan kelancaran acara awal SUKMA 2026 yang membuka tirai hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sukarelawan SUKMA 2026, Syamsul Tahrin Mohd Tahir berkata, beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan para sukarelawan.
Syamsul Tahrin, yang juga Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, berkata sukarelawan menjadi antara tulang belakang penganjuran SUKMA 2026.

6. Akuatik Selangor dilengkapi teknologi canggih
Akuatik Selangor kini dilengkapi teknologi penapisan air 'regenerative filtering' antara paling canggih di negara ini bagi penganjuran SUKMA 2026.
Pusat yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE) itu melalui proses naik taraf melibatkan teknologi serta kemudahan sokongan bagi memenuhi keperluan penganjuran temasya.
Pengurus Akuatik Selangor, Ahmad Sayuti Bashiron berkata teknologi penapisan berkenaan beroperasi secara automatik serta mampu menjimatkan penggunaan elektrik dan air.

7. Selangor sasar emas polo air
Selangor menyasarkan pingat emas dalam acara polo air lelaki dan wanita pada temasya SUKMA 2026, selepas sukan itu kali terakhir dipertandingkan pada SUKMA Kuala Lumpur pada 2013.
Keyakinan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin, yang berharap skuad polo air Selangor mampu mengatasi cabaran pasukan negeri lain sekali gus menyumbang emas kepada kontinjen negeri.

Kontinjen Selangor meneruskan cabaran hari kedua acara awal SUKMA 2026 dengan tumpuan terarah kepada tiga sukan membabitkan polo air, kriket dan bola keranjang 3x3, esok.
Skuad polo air lelaki akan membuka kempen menentang Pulau Pinang di Akuatik Selangor dari jam 1.30 hingga 3 petang, manakala pasukan kriket lelaki dijadual berdepan Perlis di Bayuemas Oval pada jam 9.30 pagi.
Sementara itu, pasukan bola keranjang 3x3 wanita Selangor akan menentang Negeri Sembilan di Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi, Klang pada jam 10.20 pagi.






