Thailand berpeluang jadi sumber hasil utama EI Power dipacu buku tender cecah RM90 juta - HLIB

Business & Finance
17 Sep 2026 • 11:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Thailand berpeluang jadi sumber hasil utama EI Power dipacu buku tender cecah RM90 juta - HLIB Image from: Thailand berpeluang jadi sumber hasil utama EI Power dipacu buku tender cecah RM90 juta - HLIB amree17/09/2026 - 11:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Sept — Thailand berpotensi menjadi satu lagi sumber pertumbuhan EI Power Berhad dengan kumpulan itu memiliki buku tender bernilai RM90 juta di negara berkenaan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan tersebut sudah memperoleh semua lesen diperlukan untuk menjalankan operasi di Thailand dan kini menunggu keputusan pelanggan bagi lima tender yang telah tertangguh selama enam hingga lapan bulan.

 

Ia menjangkakan tender berkenaan akan dianugerahkan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan akan datang, dengan kontrak pertama di Thailand berpotensi membuka peluang lebih luas kepada kumpulan dalam projek pusat data (DC) di luar Malaysia.

 

"Justeru kami melihat EI Power berpeluang besar mencatat pendapatan lebih tinggi pada tempoh separuh kedua 2026 (2H26), dipacu pelaksanaan buku tempahan keseluruhan yang mencecah RM219 juta," menurut analisis HLIB.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan hasil dijangka semakin kukuh apabila projek-projek dalam buku tersebut memasuki fasa pelaksanaan, selepas kumpulan meraih pertumbuhan sederhana 3.9% secara suku ke suku (QoQ) pada suku kedua 2026.

 

Ia perlu menukar momentum projek pusat data (DC) kepada kontrak baharu, berikutan peluang tender RM665 juta dan kelulusan tambahan kapasiti 5 gigawatt (GW) memberi kumpulan itu ruang mencatat pertumbuhan lebih kukuh dalam tempoh akan datang.

 

"Berdasarkan situasi semasa, kami menjangkakan pendapatan EI Power meningkat lebih kukuh pada enam bulan terakhir tahun ini, apabila buku tempahan mencapai rekod sebanyak RM219 juta mula diterjemahkan kepada hasil," jelas HLIB dalam notanya.

 

EI Power_DagangNews2026

 

Setakat tahun ini, kumpulan berkenaan sudah pun memperoleh kontrak baharu yang bernilai RM174 juta, bersamaan 96% daripada anggaran penuh tahun firma penyelidikan tersebut, dengan masih berbaki empat bulan lagi sebelum berakhirnya FY26.

 

Sehubungan itu, dengan mengambil kira buku tender kumpulan tersebut yang bernilai RM665 juta, lebih 80% daripadanya di Malaysia, ia menjangkakan perolehan kontrak baharu akan dapat melepasi anggaran awal ditetapkan berkenaan.

 

Buku tempahan EI Power lebih dua kali ganda daripada RM90 juta pada suku pertama FY2026 kepada RM219 juta setakat 1 Julai, didorong kontrak terbesar pernah diperoleh kumpulan bernilai RM90 juta, selain projek daripada pelbagai pelanggan DC sedia ada.

 

HLIB berkata perkembangan projek berkenaan dijangka mempercepatkan pertumbuhan pendapatan pada 2H26, berbanding pertumbuhan sederhana 3.9% suku ke suku yang dicatatkan pada suku kedua FY26.

 

"Pada masa sama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi petunjuk ada tambahan 5GW kapasiti DC telah diluluskan oleh Data Centre Task Force (DCTF) yang dijangka membuka peluang projek lebih besar kepada EI Power bagi FY27 hingga FY28," jelas firma berkenaan.

 

Ia menganggarkan peluang projek itu berpotensi menghasilkan kerja bernilai RM750 juta kepada EI Power, berdasarkan anggaran RM15 juta hingga RM20 juta bagi setiap 100MW kapasiti, namun sebahagian besar masih belum masuk ke buku tender kerana proses kelulusan DCTF di peringkat awal.

 

Pelanggan DC dari Barat dan operator tempatan juga semakin berkembang daripada satu tapak kepada kampus pelbagai lokasi, sekali gus berpotensi mewujudkan aliran kontrak secara berulang bagi FY27 hingga FY28 kepada EI Power sendiri.

 

"Susulan jangkaan perolehan kontrak lebih tinggi, kami menaikkan unjuran hasil FY26, FY27 dan FY28 masing-masing 14%, 11% dan 22%, selain menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.09 daripada 88 sen berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 22 kali bagi FY27," katanya. 

 

HLIB turut mengekalkan saranan ‘beli’, dengan EIPower dilihat sebagai proksi khusus pertumbuhan DC, disokong rekod melayani pengendali antarabangsa serta permintaan pembinaan DC yang semakin berterusan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved