
SIAPA sangka kehidupan aktres popular Bollywood, Rani Mukerji bermula dengan satu insiden yang hampir sama dengan plot filem apabila dia pernah tertukar dengan bayi lain ketika baru dilahirkan.
Menerusi satu temu bual, Rani berkongsi insiden mencemaskan yang pernah dilalui ibunya satu ketika dahulu.
Menurut Rani, kejadian tersebut berlaku beberapa jam selepas dia dilahirkan dan ibunya, Krishna menjadi individu pertama menyedari sesuatu yang tidak kena.
Warna mata bayi yang berada bersama ibunya tidak sama dengan warna matanya ketika dilahirkan.
“Ini bukan bayi saya. Anak perempuan saya mempunyai mata berwarna coklat. Cari anak saya,” cerita Rani mengimbau semula kisah lalu.
Krishna kemudian berusaha mencari Rani di sekitar wad bersalin sebelum akhirnya menemui anaknya berada bersama sebuah keluarga Punjabi.
Disebabkan insiden itu, Rani mengakui keluarganya sehingga kini masih menjadikan kisah tersebut sebagai bahan gurauan.
“Mereka masih bergurau mengatakan saya sebenarnya orang Punjabi,” katanya.
The post Rani Mukerji tertukar sewaktu bayi appeared first on Kosmo Digital.





