
TEMERLOH – “Rasa kosong sekarang ini, tengah nak kumpul jiwa balik,” luah Saifulnizam Sulaiman, 39, selepas selesai majlis pengebumian isteri dan anak lelakinya yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori tangki di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak, di sini, Jumaat lalu.
Saifulnizam ditemui selepas selesai proses pengebumian Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sanggang, di sini, hari ini.
Dalam kesedihan masih jelas terpancar di wajahnya, Saifulnizam mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai yang hadir memberikan sokongan serta mendoakan arwah isteri dan anaknya.
“Saya ucapkan jutaan terima kasih buat semua, rakyat Malaysia, semua kawan-kawan. Ramai yang tak kenal pun datang (ziarah) . Terima kasih yang mendoakan,”katanya.
Saifulnizam berkata, doa dan sokongan orang ramai menjadi antara kekuatan buat dirinya untuk meneruskan kehidupan selepas kehilangan dua insan yang amat disayanginya itu.
Sementara itu, kakaknya, Roslina Sulaiman, 45, berkata Saifulnizam dan arwah isterinya baru sahaja memulakan projek benih ikan di Kampung Gadong, Sendayan, Negeri Sembilan yang juga kampung halaman mereka pada awal bulan ini.
Katanya, projek berkenaan dijalankan di atas tanah milik adiknya dan pasangan itu kerap berulang-alik dari Jerantut ke Sendayan bagi meninjau serta menguruskan perkembangan projek tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Rasa kosong sekarang ini, tengah nak kumpul jiwa balik’ appeared first on Kosmo Digital.





