
TEMERLOH – Tangisan dan esakan mengiringi perjalanan terakhir dua beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan lori tangki di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak, di sini, Jumaat lalu.
Jenazah Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12, selamat dikebumikan dalam dua liang lahad bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Sanggang, di sini kira-kira pukul 2.30 petang tadi.
Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan apabila ratusan ahli keluarga, saudara-mara dan penduduk setempat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada dua beranak berkenaan.
Sebelum itu, kedua-dua jenazah dituntut ahli keluarga di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh pada pukul 10 pagi selepas proses pengesahan identiti diselesaikan menerusi perbandingan sampel asid deoksiribonukleik DNA bersama waris yang dilakukan di Kuala Lumpur.
Jenazah kemudian menjalani proses tayamum dan dikafankan di Unit Forensik Hoshas sebelum dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Kampung Kuala Sanggang di sini untuk disolatkan.
Suami mangsa, Saifulnizam Sulaiman, 39, turut berada di tanah perkuburan dan dilihat gagal menahan kesedihan selepas selesai pengebumian isteri serta anaknya.
Beliau kemudiannya ditenangkan ahli keluarga yang berada di sisi sepanjang proses pengebumian dua insan tersayang itu. – KOSMO!ONLINE
The post Nur Fatima Syuhada, Fattah Aisy Naufal selamat dikebumi appeared first on Kosmo Digital.






