‘Tak boleh tidur selepas lihat jasad isteri, anak’

17 Aug 2026 • 7:23 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Tak boleh tidur selepas lihat jasad isteri, anak’

TEMERLOH: “Alhamdulillah saya dibenarkan melihat sendiri jasad isteri dan anak, namun tidak boleh tidur sampai sekarang.”

Itu luahan Saifulnizam Sulai­man, 39, selepas melihat jasad isterinya, Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anak lelaki mereka, Muhamad Fattah Aisy Naufal, 12, yang rentung selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah lori tangki sebelum terbakar di Jalan Temerloh-Triang, dekat sini, kelmarin.

Saifulnizam berkata, dia tiba di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kira-kira pukul 1 pagi sebelum ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh bagi proses pengecaman jasad isteri dan anaknya.

“Saya juga perlu melalui pro­ses pengecaman semula jasad serta barang-barang yang ditemukan semasa kejadian,” kata­nya di sini.

Sementara itu, Saifulnizam mengakui kehilangan isteri dan anaknya adalah tamparan paling hebat dalam hidupnya sehingga belum mempunyai kekuatan untuk melihat kembali rakaman video berkaitan kejadian.

“Saya belum ada kekuatan buka video-video yang ada. Ini tamparan yang sangat hebat bagi saya. Ini titik terendah dalam hidup saya. Allah uji, ambil semula apa yang dipinjamkan kepada saya. Balik rumah dalam keadaan kosong,” katanya.

Dia merakamkan pengharga­an kepada semua sahabat dan orang ramai yang hadir memberikan sokongan serta mendoa­kan keluarganya, termasuk mereka yang tidak dikenalinya.

Nahas kira-kira pukul 4 petang itu berlaku selepas lori tangki yang membawa kira-kira 32,000 liter petrol dan diesel terbabas sebelum terbalik lalu menghempap kenderaan dinaiki dua beranak berkenaan.

Semasa kejadian, Allahyarham Nur Fatima Syuhada dan Muha­mad Fattah Aisy Naufal dalam perjalanan dari Jerantut, dekat sini ke Seremban, Nege­r­i Sembilan untuk menemui Saifulnizam yang berada di bandar berkenaan atas urusan kerja. – UTUSAN

The post ‘Tak boleh tidur selepas lihat jasad isteri, anak’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved