RCI TH: Tan Sri Madinah tidak bercakap benar - Pengerusi TH

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 12:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RCI TH: Tan Sri Madinah tidak bercakap benar - Pengerusi TH
Rashid ketika ditemui media pada Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di Hotel Tanera, Bangi pada Khamis. - Foto: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

BANGI – Kenyataan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad yang mendakwa beliau tidak dipanggil untuk memberi keterangan dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) adalah tidak benar.

Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussin berkata, suruhanjaya itu telah menyerahkan sapina kepada Madinah bagi membolehkannya hadir memberikan keterangan kepada panel siasatan.

Menurut beliau, Madinah bagaimanapun memohon untuk hadir bersama Timbalan Pengarah Bahagian Audit Kewangan ketika itu, Mona Othman, namun permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi.

“Mengikut prosiding RCI, siasatan dijalankan secara individu. Namun pada 2 Jun 2022, Puan Mona hadir dan memberikan penjelasan kepada kami, selain menyerahkan laporan penuh.

“Saya tidak berhasrat untuk memanjangkan kontroversi ini, tetapi saya merasakan penjelasan perlu diberikan.

“Untuk rekod, Tan Sri telah diserahkan sapina. Jadi, apa yang diperkatakan beliau adalah tidak benar,” katanya ketika ditemui selepas Dialog Ummah: Realiti Masa Depan TH di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Madinah dilaporkan terkilan kerana tidak dipanggil memberikan keterangan dalam prosiding berkenaan.

Beliau yang berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara dari 2017 hingga 2019 mendakwa sudah berada di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika prosiding RCI TH berlangsung, namun namanya tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

Mengulas lanjut, Rashid berkata, Madinah sebenarnya telah diberikan ruang yang mencukupi untuk mengemukakan keterangan kepada suruhanjaya tersebut.

Menurutnya, RCI turut memberi peluang kepada Madinah untuk mengemukakan jawapan bertulis terhadap 75 soalan yang dikemukakan oleh suruhanjaya berkenaan.

“Jawapan tersebut direkodkan sebagai kenyataan saksi dan beliau menyerahkannya dalam bentuk akuan berkanun pada 1 April 2022,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved