
Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berdepan pertuduhan di mahkamah selepas didakwa menerima suapan berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing pada 2022.
Ahli Parlimen Tapah berusia 58 tahun itu bagaimanapun menafikan kesemua pertuduhan dan memilih untuk dibicarakan ketika prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Memetik laporan Berita Harian, Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC didakwa menerima tiga bayaran masing-masing RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38.
Daripada jumlah itu, RM597,000 didakwa disalurkan melalui sekeping cek yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.
Baca juga:
Akmal gesa kerajaan tegas isu bendera terbalik
Usia bukan penghalang, Sabri Yunus kembali ke universiti pada umur 65 tahun
MCA Perak mohon maaf isu Jalur Gemilang dan bendera negeri dipasang terbalik
Kesemua bayaran tersebut didakwa diberikan sebagai dorongan kepada Saravanan yang ketika itu merupakan Menteri Sumber Manusia untuk meluluskan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah resort golf di Bukit Jalil, Jalan Telawi 3, Bangsar dan sebuah bank di Cawangan Jalan Klang Lama pada 16 Jun 2022 serta 7 Julai 2022.
Saravanan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
The post Saravanan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terima suapan appeared first on The Reporter.





