
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 4 November ini bagi keputusan rayuan akhir pendakwah selebriti Da’i Syed untuk mengetepikan sabitan atas kesalahan merogol tujuh tahun lalu.
Perkara itu disahkan peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 31, selaku perayu.
“Keputusan ditetapkan pada 4 November 2026,” katanya ringkas ketika dihubungi selepas prosiding pengurusan kes hari ini.
Sebelum ini, Hakim Datuk Azman Abdullah yang mengetuai panel tiga hakim bersama Hakim Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid telah selesai meneliti hujah kedua-dua belah pihak.
Pada pendengaran prosiding 3 Ogos lalu, Mohamed Baharudeen dan seorang lagi peguam Datuk M. Athimulan yang mewakili Da’i Syed berhujah Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini terkhilaf dalam mensabitkan perayu selain dapatan melabelkan mangsa sebagai wanita naif.
Pihak pembelaan berhujah, dapatan itu bercanggah dengan keterangan pengadu yang mengatakan dia seorang dewasa matang dan mampu menjaga keselamatannya sendiri.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim menafikan perbuatan (seks) itu dibuat dengan kerelaan, sebaliknya tanpa persetujuan dan kerelaan mangsa.
Pada 14 Februari lalu, Da’i Syed yang menjalani hukuman atas kesalahan merogol dibebaskan sementara oleh Mahkamah Rayuan selepas 21 hari berada dalam penjara.
Dae’i Syed diperintah ke Penjara Kajang serta-merta selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Januari lalu mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita kerana tidak membenarkan penangguhan hukuman.
Da’i Syed kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 26 Januari lalu bagi penangguhan pelaksanaan hukuman.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal didakwa merogol mangsa berusia 23 tahun di sebuah kondominium di Seksyen 7 di sini pukul 1.35 pagi, 11 September 2019.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
The post Rayuan akhir sabitan Da’i Syed 4 November ini appeared first on Kosmo Digital.






