RCI: MB persoal kaitan pelaburan Tabung Haji dengan 1MDB

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 3:06 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

RCI: MB persoal kaitan pelaburan Tabung Haji dengan 1MDB

SHAH ALAM, 11 OGOS: Beberapa pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) yang diperincikan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menimbulkan persoalan berhubung kemungkinan kaitannya dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari membangkitkan perkara itu ketika mempersoalkan tindakan TH membeli 30 peratus kepentingan dalam Putrajaya Perdana Bhd (PPB) pada November 2014, selain pelantikan pengerusi TH ketika itu sebagai pengerusi syarikat berkenaan pada Januari 2015.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata perkara itu perlu diteliti susulan aliran dana daripada SRC International Sdn Bhd kepada beberapa syarikat berkaitan PPB, termasuk dakwaan ia disalurkan kepada akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Soalan saya, secara keseluruhannya, berapa banyak wang simpanan ummah TH telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB untuk menutup salah laku syarikat sejak tahun 2014.

“Dan apakah laporan penilaian pelaburan yang digunakan oleh pihak pengurusan TH serta adakah terdapat desakan politik untuk duit ini digunakan tanpa mematuhi syarat dan kriteria pelaburan,” katanya ketika sesi perbahasan pada Sidang Khas Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Image from: RCI: MB persoal kaitan pelaburan Tabung Haji dengan 1MDB
Ahli Parlimen Gombak Dato' Seri Amirudin Shari. Foto Facebook Amirudin Shari

Dalam pada itu, Amirudin turut mempertikaikan peranan pengurusan tertinggi TH ketika itu yang dilantik memegang jawatan dalam syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB dan SRC International.

Beliau menyifatkan sekiranya wang pendeposit TH terbabit dalam urusan berkenaan, perkara itu merupakan penggabungan dan penggandaan pengkhianatan kepada masyarakat.

“Saya kaitkan ini kerana ia telah bercantum dan berhubung dengan satu lagi skandal yang besar yang turut mencalarkan imej nasional iaitu 1MDB.

“Jika ia melibatkan wang TH, ia adalah satu penggabungan dan penggandaan pengkhianatan kepada masyarakat,” katanya.

Sabtu lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan supaya siasatan terhadap laporan RCI mengenai TH dijalankan secara menyeluruh.

Baginda bertitah perkara itu penting bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain mengelakkan isu sama berulang pada masa depan.

Pada 29 Julai lalu, kerajaan memutuskan untuk mendedahkan laporan RCI setebal 211 halaman yang membongkar pelbagai kelemahan dalam pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved