
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuat penjelasan mengenai beberapa pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) yang didakwa mempunyai kaitan dengan individu atau syarikat berhubung politik.
Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) berkata, penjelasan bagi memastikan rakyat mengetahui kedudukan sebenar beberapa keputusan pelaburan TH yang dipersoalkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Menurutnya, antara yang perlu diperjelas adalah pelaburan berkaitan WH Heavy Engineering, Destini serta pembelian saham Emrail.
“RCI merekodkan TH membeli 15.3 peratus kepentingan dalam Emrail dengan nilai sehingga RM20.1 juta namun selepas opsyen jual dilaksanakan hanya RM2 juta dibayar manakala bakinya belum dilangsaikan.
“Kalau betul syarikat-syarikat ini ada terkait dengan mana-mana parti politik, maka ini juga perlu kepada penjelasan,” katanya di Dewan Rakyat.
Zaliha berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan bagaimana kepimpinan parti ketika itu didakwa bersilang dengan keputusan pelaburan TH.
Beliau turut merujuk pembelian tanah TRX daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan harga RM188.5 juta pada 2015.
Dalam kes Putrajaya Perdana pula, katanya, RCI merekodkan TH membeli 30 peratus pegangan pada harga RM193.5 juta daripada Cendana Destini namun pelaburan itu kemudiannya gagal mencapai sasaran ditetapkan.
“Saya juga difahamkan bahawa cadangan pelaburan ini pernah sampai kepada Datuk Seri Najib mantan Perdana Menteri dan ada juga minit ‘tiada halangan’ daripada beliau.
“Jadi kalau maklumat ini benar, saya mahu kerajaan sahkan perkara ini kepada Dewan,” katanya.
Dalam pada itu, Zaliha turut mempersoalkan status 14 pelaburan dan entiti bermasalah TH yang disenaraikan RCI untuk melalui audit forensik.
Beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan berapa daripada kes itu sudah selesai diaudit, jumlah yang berjaya dipulihkan dan pihak yang sudah dipertanggungjawabkan.-UTUSAN
The post Kerajaan perlu jelaskan pelaburan TH berkait politik appeared first on Utusan Malaysia.






