
PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) dan bekas ketua pegawai kewangan (CFO) sebuah syarikat badan berkanun disyaki menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Sumber berkata, mereka yang berusia 60 dan 68 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka dibebaskan malam tadi atas faktor kesihatan dan dijadual hadir semula ke Ibu Pejabat SPRM pada pukul 10 pagi ini bagi menyambung semula rakaman percakapan.
“Penahanan itu dibuat susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Julai lalu,” katanya, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman mengesahkan penahanan kedua-dua individu tersebut.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana kesalahan salah guna kuasa. – KOSMO! ONLINE
The post RCI Tabung Haji: Bekas CEO, CFO ditahan kes pembelian saham RM370 juta appeared first on Kosmo Digital.






