
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan seorang bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah syarikat milik badan berkanun bagi membantu siasatan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH).
Kedua-dua lelaki berusia 68 dan 60 tahun itu disyaki menyalahgunakan kuasa dalam urusan pembelian saham membabitkan dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Menurut sumber, mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada kira-kira jam 6.30 petang semalam.
Bagaimanapun, kedua-dua suspek dibebaskan pada malam yang sama atas faktor kesihatan dan dijadual hadir semula ke Ibu Pejabat SPRM pagi ini bagi menyambung proses rakaman percakapan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana disyaki melakukan penyalahgunaan kuasa.
Terdahulu, SPRM turut menahan dua individu lain dalam siasatan khas yang dijalankan susulan Laporan RCI Tabung Haji.
Dua suspek terbabit, masing-masing seorang pengarah syarikat dan bekas pengurus ladang, ditahan sebaik hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan kepada pegawai penyiasat.
Menurutnya lagi, siasatan lanjut berhubung kes itu masih diteruskan. - Getaran, 5 Ogos 2026






