RCI Tabung Haji: Bekas Menteri Direman 5 Hari

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 1:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

RCI Tabung Haji: Bekas Menteri Direman 5 Hari

PUTRAJAYA - Seorang bekas menteri direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung isu pajakan hotel berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) di Arab Saudi.

Perintah reman yang berkuat kuasa sehingga Ahad ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di sini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Ahli Parlimen itu ditahan selepas hadir untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM semalam.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, beberapa tangkapan membabitkan bekas pegawai kanan TH dan tokoh korporat dilaporkan dilakukan susulan isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Pada 27 Ogos lalu, bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar direman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan laporan berkenaan.

Kedua-duanya dibebaskan semalam selepas pihak penyiasat selesai merakam keterangan mereka.

Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH juga sebelum ini telah direman, manakala tujuh lagi individu termasuk empat bekas anggota pengurusan kanan TH dan tiga tokoh korporat, ditahan dalam siasatan berasingan.

Laporan RCI yang disiapkan pada 2022 selepas meneliti pengurusan serta operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, dinyahklasifikasi dan diumumkan kepada umum pada 29 Julai lalu, empat tahun selepas suruhanjaya itu menyelesaikan siasatannya.

RCI mendapati wujud kelemahan serius dalam aspek tadbir urus, pengurusan kewangan dan keputusan pelaburan TH.

Antara penemuan utama ialah TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan ketika itu.

Laporan turut mendapati bayaran hibah dibuat antara 2014 hingga 2017 walaupun jumlah liabiliti TH melebihi aset dimilikinya.

Selain itu, RCI membangkitkan kebimbangan berhubung pelaburan berisiko, pembayaran bonus berlebihan, konflik kepentingan serta kelemahan dalam tindakan tatatertib terhadap pegawai kanan.

RCI mengemukakan 25 syor utama, termasuk rombakan besar-besaran terhadap tadbir urus TH, penetapan kriteria lebih ketat bagi pelantikan anggota lembaga pengarah, larangan terhadap ahli politik aktif daripada menganggotai lembaga, pelaksanaan audit forensik terhadap pelaburan yang diragui serta pemisahan tanggungjawab yang lebih jelas antara urusan haji dan pengurusan kewangan.

SPRM sebelum ini turut memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan pelantikan pakar forensik luar bagi membantu penelitian dokumen serta bukti lain berkaitan siasatan. - Getaran, 2 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved