RCI TH:  Beberapa individu akan didakwa 

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 3:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RCI TH:  Beberapa individu akan didakwa 

PUTRAJAYA: Beberapa individu yang sebelum ini ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk orang kenamaan, bagi membantu siasatan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka didakwa di mahkamah esok dan Jumaat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, cadangan pertuduhan itu dilakukan susulan hasil penelitian enam kertas siasatan oleh pasukan khas pada 31 Julai lalu.

“Bagi kertas siasatan pertama, empat pertuduhan akan dilakukan iaitu tiga pertuduhan di Mahkamah Shah Alam pada esok (3 September), sementara Jumaat (4 September)  satu pertuduhan akan dilakukan di Mahkamah Kuala Lumpur.

“Empat lagi kertas siasatan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan dijalankan merangkumi aspek di bawah Akta SPRM 2009 membabitkan unsur kesalahan sekiranya dikesan iaitu rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

“Bagi siasatan di peringkat awalan, terdapat enam isu yang telah dibangkitkan di dalam laporan RCI tersebut yang telah dirujuk kepada pihak kami oleh pihak Tabung Haji untuk siasatan.

“Isu ini antaranya melibatkan dakwaan rasuah dalam pembelian ladang sawit, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam penyewaan restoran di Kuala Lumpur, pengubahsuaian rumah serta pejabat serta dakwaan pemalsuan dokumen pembekalan anak benih getah,” katanya.

Beliau berkata, bagi enam isu ini, tujuh individu telah ditahan terdiri daripada bekas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Plantation, bekas bekas ketua pegawai kewangan (CFO) TH Plantation, bekas pengurus Lapangan Semaian Tan Kedah.

Turut ditahan iaitu  Pengarah AG Reka Sdn Bhd, bekas Timbalan Pengurus Besar Pembinaan TH Properties Sdn Bhd, bekas pengurus Safety and Health TH Properties serta bekas Pengarah TH Properties. 

Dalam perkembangan berasingan, seorang bekas menteri antara 11 individu yang ditahan melibatkan lapan kertas siasatan terbaharu yang dibuka oleh SPRM bermula 10 Ogos lalu.

Katanya, kebanyakan siasatan melibatkan isu pelaburan yang bermasalah dan kini masih dalam siasatan.

Menurutnya, daripada lapan kertas siasatan tersebut, seramai 11 orang telah ditangkap iaitu bekas Pengarah Urusan LTH , Pengarah Syarikat Putrajaya Perdana, bekas Pengarah Putra Perdana Construction Sdn Bh, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, bekas Pengarah Putrajaya Perdana Berhad serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alam Maritim Sdn Bhd.

Turut ditahan ialah bekas Pengurus Besar Kanan Haji LTH, bekas Pengurus Besar Kanan Bahagian Korporat Kewangan dan Perkhidmatan LTH, bekas Pengurus Besar Kanan Bahagian Korporat Kewangan dan Perkhidmatan LTH, bekas Penasihat Undang-Undang LTH serta bekas menteri.

“Lapan isu dibangkitkan iaitu dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan pelaburan LTH dalam TH Marine, TH-Alam dan TH Alam Management berjumlah RM334.2 juta selain pelaburan LTH dalam Alfareeda Residential Fund berjumlah Saudi Riyal 76 juta.

“Selain itu ialah pelaburan dan pajakan LTH dalam Al-Rawda Real Estate Development & Project Management Co Ltd. di Mekah dan Madinah berjumlah Saudi Riyal 2.49 bilion,” jelasnya.

Katanya, isu lain dibangkitkam antaranya pembayaran bonus RM2.2 juta tanpa kelulusan board di TH Properties Sdn Bhd, dakwaan rasuah dalam THHR dan LTH berhubung dengan penyerahan aset-aset TH kepada UJSB bernilai RM804.1juta.

Abd Halim berkata, daripada jumlah tangkapan tersebut, enam individu telah direman. 

“Bagaimanapun, tiada sebarang sitaan barangan berharga atau pembekuan akaun dilakukan kecuali sitaan beberapa dokumen yang berkaitan.

“Selain tangkapan, seramai 130 orang saksi telah dipanggil bagi dirakam percakapan,” ujarnya.

Jelas beliau, secara keseluruhan sejak pasukan khas SPRM ditubuhkan pada 31 Julai lalu bagi menyiasat isu ini, seramai 18 individu telah ditangkap dan 11 orang telah ditahan reman, selain 245 saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan ini.

“Sebanyak 60 buah premis telah dimasuki bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan siasatan ke atas 14 kertas siasatan yang dibuka.

“Siasatan masih berjalan dan saya mohon agar semua pihak dapat memberi ruang dan sokongan kepada SPRM dalam melaksanakan siasatan ini secara bebas dan adil,” katanya. – UTUSAN

The post RCI TH:  Beberapa individu akan didakwa  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved