
Kerajaan Madani akan memastikan tindakan susulan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji dilaksanakan secara tegas dan menyeluruh, selaras dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata langkah itu penting bagi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam.
Beliau berkata, sebagai sebuah institusi Parlimen yang berwibawa, proses Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tetap dihormati, manakala Kerajaan Madani bersedia memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan.
“Namun, fokus utama buat masa ini adalah memastikan tindakan susulan terhadap Laporan RCI Tabung Haji diselesaikan secara tegas dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca juga:
Dakwaan salah laku dengan isteri OKT, pegawai penyiasat digantung tugas- RCI Tabung Haji: Siasatan ‘hingga ke lubang cacing’ selaras titah YDPA
Polis tahan lelaki berkait kes pembakaran, kecurian naskhah al-Quran di Seremban
Menurutnya, RCI Tabung Haji dibentuk dengan keanggotaan enam tokoh berwibawa yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Julai 2021.
Katanya, keanggotaan itu merangkumi kepakaran dalam bidang kehakiman, pentadbiran awam, perbankan, Syariah dan audit bagi memastikan proses siasatan serta cadangan tindakan dilaksanakan secara bebas, profesional, adil dan berintegriti tanpa campur tangan.
Zulkifli berkata, siasatan berkenaan turut disokong titah perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2021 serta ketegasan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 8 Ogos 2026 yang mahu sebarang penyelewengan disiasat “hingga ke lubang cacing”.
Beliau berkata, desakan berterusan sejak 2019 oleh pelbagai pihak membuktikan bahawa pengurusan simpanan umat Islam memerlukan tahap ketelusan mutlak dan tidak boleh dikompromi.
“Kerajaan Madani berikrar akan menggalas amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan rasa gerun kepada Allah SWT serta memastikan setiap kezaliman ditangani berlandaskan undang-undang,” katanya.
The post RCI Tabung Haji: Siasatan ‘hingga ke lubang cacing’ selaras titah YDPA appeared first on The Reporter.





